December 8, 2024

Precious Of Malaysia Ke Kota Paris – Istimewa Kehadiran Sultanah Nur Zahirah Di Malam Gala

Jenama acara fesyen Precious Of Malaysia bakal meluaskan empayar dengan membawa pemenang ke kota fesyen Paris tahun depan.

Menurut penganjurnya Jonathan dan Farel Mikhail dari FM Group, usaha ini adalah untuk terus memartabatkan budaya Malaysia ke luar negara sekaligus memberi peluang kepada pereka muda untuk terus berkarya menghasilkan yang terbaik.

“Kami tidak mahu kemenangan mereka hanya berakhir dalam pertandingan ini, sebaliknya kami merancang membawa rekaan mereka ke Paris.

“Kalau ikut perancangan yang disusun dan telah mendapat persetujuan, mereka akan ke Paris pada Jun tahun depan.

“Dalam program itu, para pemenang ini akan bawa rekaan fesyen mereka yang bertemakan budaya Malaysia ini ke sana. Beberapa program telah diatur dan akan diumumkan kelak.

“Ini satu peluang keemasan buat mereka apabila bakal memperkenalkan budaya Malaysia ke Paris. Dalam masa yang sama, pereka fesyen muda dari Paris juga akan menyertai Precious Of Malaysia.

“Jadi, kita boleh nampak perkongsian budaya yang berbeza sekaligus menaikkan imej pereka fesyen muda dari Malaysia,” kata Jonathan.

Dalam pertandingan ini, sebanyak 23 jenama berentap dan menampilkan keunikan masing-masing.

Pereka muda Afiq Syazani merangkul juara sekaligus mengetepikan pesaing hebat lain iaitu naib juara Rashid Moshi dan UiTM (tempat ketiga) .

Selain jenama-jenama tempatan, wakil dari negara luar iaitu Indonesia dan Filipina turut memberikan saingan sengit.

Lebih menarik Jonathan menambah Precious of Malaysia edisi kali ini sangat istimewa apabila Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah sudi mencemar duli hadir ke Malam Gala Precious Of Malaysia yang berlangsung pada 4 Ogos 2024 di Menara Affin @ TRX.

Turut berkenan berangkat pada acara itu ialah Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Dato’ Seri Fatimatuz Zahra’.

“Sehingga ke saat ini, kami berasakan kesudian Sultanah Nur Zahirah mencemar duli ke acara kami bagai sebuah mimpi yang menjadi realiti. Tidak pernah terbayangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Farel menambah pemenang diberi keistimewaan untuk memperagakan rekaan mereka di hadapan

Sultanah Nur Zahirah yang turut berkenan merasmi Precious Of Malaysia, lancar buku Pesona Kebaya.

Tetamu kehormat lain yang turut hadir ialah Pengerusi Affin Bank Berhad, Datuk Agil Natt dan Pengarah Urusan MyCar, Datuk Noor Sheena.

Antara penaja yang turut serta dalam Precious Of Malaysia adalah Affin Bank Berhad, Pavilion Damansara Heights, Vivo, MyCar, Famous Amos, Sunshine Asia Group dan banyak lagi. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts