Bukan soal bayaran yang menjadi ukuran, sebaliknya rezeki untuk kembali berkunjun ke rumah Allah mengerjakan ibadah haji selepas sedekad, membuat hati Hafiz Hamidum berbunga dan teruja.
Bagi dirinya, tawaran yang hadir satu hadiah bermakna bagi dirinya berkongsi sedikit pengalaman selain mengambil peluang memperbaiki diri untuk sama-sama menjadi insan yang lebih baik bersama jemaah yang lain.
“Saya terima dengan hati terbuka dan percaya ia rezeki daripada Allah yang dikurniakan kepada saya untuk kembali mengulangi semula ibadah yang pernah saya lakukan 10 tahun lalu.
“Jujurnya, saya bersetuju tanpa sebarang bayaran dan yakin dengan kredibiliti syarikat Jay Ibrahim Al Islam dalam menguruskan ibadah haji termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza,” katanya Ketika ditemui pada majlis pengumuman dirinya sebagai Wajah Rasmi Pakej Haji 2026 di bawah syarikat Jay Ibrahim Al Islam, antara 31 syarikat Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilantik secara rasmi oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi musim haji tahun hadapan.
Pelantikan ini dilihat sebagai strategi memperkukuhkan pendekatan spiritual yang lebih dekat dengan orang ramai, khususnya golongan muda serta keluarga moden yang ingin memahami ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi juga penyucian jiwa.

“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan. Ibadah haji adalah kemuncak perjalanan kehidupan seorang Muslim. Saya ingin membantu lebih ramai jemaah mendekati ibadah ini dengan hati yang bersedia, penuh ilmu dan ketenangan,” ujar Hafiz , yang turut tersenarai dalam The 500 Most Influential Muslims in the World oleh The Royal Islamic Strategic Studies Centre selama 11 tahun berturut-turut.
Hafiz turut menitip pesan agar semua yang berhajat menunaikan haji agar memilih pakej dengan PJH yang sah dan berdaftar dari menjadi mangsa penipuan.
“Saya sedih bila setiap tahun ada yang jadi mangsa penipuan, saya harap semua lebih berhati-hati,” katanya.

Menurut Pengarah Urusan Jay Ibrahim Al Islam, Muhammad Jay Ibrahim, pelantikan Hafiz bukan sekadar kerjasama promosi, tetapi membina pendekatan bimbingan haji yang lebih menyentuh rohani.
“Kami percaya Hafiz Hamidun membawa nilai yang seimbang antara pengetahuan agama, pengaruh positif, dan ketokohan dalam bidang seni Islamik. Pendekatan kami adalah membantu jemaah melalui perjalanan haji dengan bimbingan yang tersusun, selesa dan penuh hikmah,” katanya.- GIT MEDIA
