Penyanyi berbakat besar, Amir Masdi jarang sekali berkongsi mengenai wanita pilihan yang bakal menjadi suri di hatinya.
Namun terbaharu, dia memilih untuk berkongsi mengenai wanita yang berjaya menambat hatinya dalam lagu berjudul Bakal Kekasih.
Amir, 29, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi berkata, lagu itu menceritakan bagaimana perasaan apabila sudah mulai menyukai seseorang.
Menurutnya, lagu ciptaan bersama komposer terkenal Edry Abdul Halim itu bukan hanya menyerlahkan sisi baru Amir sebagai penyanyi rock and roll malah turut membawa mesej yang bersifat universal dan menyentuh perasaan.
“Saya tulis lagu ni sebagai lagu yang fun di mana ia mengenai bagaimana kita suka pada seseorang. Tapi Cikgu Edry (Edry Abdul Halim) bagi idea, kenapa tak jadikan kisahnya lebih mendalam.

“Jadi daripada sekadar suka, kami tukar menjadi seseorang yang kita mahu jadikan pasangan hidup. Saya berasa itu idea yang menarik dan boleh kait dengan semua orang baik yang bujang mahupun yang sudah kahwin,” katanya.
Menariknya, lagu Bakal Kekasih adalah single keempat yang dilancarkan daripada album A.M P.M (Side A.M) selepas kejayaan lagu Nur Cinta, Calar dan Langit Biru.
Berbeza daripada karya-karya terdahulunya, Bakal Kekasih menandakan kemunculan pertama Amir dalam genre rock and roll yang menyuntik nafas baru dan segar dalam katalog muziknya.
“Saya berasa Bakal Kekasih sangat berbeza daripada lagu-lagu yang saya pernah lancarkan sebelum ini. Ini adalah lagu pertama rock and roll saya dan sebenarnya saya dah tulis lagu ini lama dah iaitu selepas Perintah Kawalan Pergerakan. Tapi lagu ini tersadai beberapa tahun dalam phone saya.
“Jadi, ketika saya hendak menghasilkan album ini, Cikgu Edry tanya saya hendak lagu macam mana lagi untuk album ini dan saya terus teringat lagu rock and roll ni.

“Saya cakap pada cikgu yang mana saya hendak satu lagu rock and roll. Saya pun kongsi lagu yang saya dah tulis dan cikgu kata, this is a good tune. Dengan bantuan beliau, siaplah lagu Bakal Kekasih,” katanya lagi.
Amir turut berharap Bakal Kekasih dapat menjadi medium untuk orang ramai meluahkan rasa terhadap insan yang mereka minati atau cintai.
“Kalau ada siapa yang ada crush tapi tak berani nak luah atau kongsi, boleh guna lagu ini. Lagu ni memang direct dan menyeronokkan,” katanya.
Menambah keterujaan, video muzik Bakal Kekasih sudah dirakam di sebuah restoran retro di Manchester, United Kingdom pada Februari tahun lalu. – GayahIsTyping
