February 25, 2024

Nora Hanya Fikir Mati

SHAH ALAM : Penyanyi Datuk Nora Ariffin berkongsi dirinya hanya memikirkan mati ketika bertarung nyawa selepas berdepan dengan komplikasi jantung baru-baru ini.

Beliau berkata, dirinya dimasukkan ke sebuah pusat rawatan swasta di Bangi kerana mengalami demam panas dan dimasukkan air.

“Ketika dalam rawatan berlaku kesilapan teknikal pada saya dan saya membuat keputusan untuk dipindahkan ke hospital.

“Selepas dimasukkan ke hospital doktor dapati bahagian paru-paru saya dipenuhi air dan ketika itu saya sukar bernafas.

“Saya ingat lagi saya hanya fikir saya akan mati dan ketika itu pandangan mata juga sudah putih dan saya mula meminta maaf kepada suami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Penyanyi lagu Naluri itu berkata dia bernasib baik meskipun berada dalam keadaan koma selama dua hari dan sedar sebaik mendapat rawatan di hospital swasta di Kajang.

“Saya dijaga tiga pakar di hospital itu dan Alhamdulillah kembali pulih dan dapat pulang ke rumah bersama suami dan anak-anak,” katanya.

Nora mengakui insiden itu memberikan pengajaran kepada dirinya dan membuatkan dia lebih menghargai kehidupan serta keluarga.

“Saya juga tak fikir untuk mengambil sebarang tindakan meskipun ada berlaku kecuaian ketika saya dirawat di peringkat awal sebelum ke hospital.

“Apa yang penting saya selamat dan dapat meneruskan hidup dan memperbaiki diri,” katanya.

Terdahulu Nora melancarkan pes masakan Secukup Rasa dengan dua variasi iaitu kerutuk dan serbaguna yang diusahakan sejak tahun 2000.

“Saya bersyukur kerana jenama pes masakan saya ini mendapat sambutan baik terutamanya ketika zaman PKP.

“Saya ingat lagi, pernah hasilkan rendang tok menggunakan tiga ekor lembu ketika itu,” katanya.

Pes masakan itu boleh didapati menerusi platform Shopee dengan harga RM20 sepeket. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts