Selepas Konsert GenKRU selama tiga hari di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur, pada Mei depan, kumpulan ikonik, KRU bakal tampil dengan konsert istimewa di The Star Theatre, Singapura pada 28 Jun depan.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, kali terakhir anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim membuat persembahan di Singapura pada 2016.
“Kali terakhir KRU membuat persembahan di Singapura adalah sembilan tahun lalu dan akhirnya, kita dapat tarikh bagus iaitu pada 28 Jun. KRU akan kembali ke Singapura menerusi GenKRU Live In Singapore selepas tiga konsert di Kuala Lumpur pada awal Mei.
“Sebagai penganjur, saya teruja dan tak sabar nak bertemu peminat di Singapura. Saya baru balik dari Singapura, minggu lalu dan seronok melihat ramai yang bertanya dan memberikan reaksi positif.
“Tiket lima kategori akan mula dijual 14 April ini dan kod pakaian untuk konsert bertema era 1990-an. Kami mahu peminat di Singapura kembali pada era kegemilangan 1990-an,” katanya menerusi sidang media Genkru Live in Singapore secara virtual, baru-baru ini.
Edry yang juga turut sama dalam sidang media secara virtual itu berkata, konsert di Singapura mungkin menjadi konsert terakhir buat KRU.
“Konsert di Singapura ini mungkin konsert terakhir dari kami untuk fasa GenKRU selepas tiga hari konsert di Kuala Lumpur. Kami tak mahu terlalu sentimental, tapi ia boleh menjadi konsert terakhir, namun kami juga tak tahu bagaimana pada masa depan.
“Buat masa ini, kami nampak konsert ini sebagai ‘finale’ buat kami selepas mengeluarkan album dan kaset. Selepas sembilan tahun tak buat persembahan di Singapura, kami teruja tampil dalam konsert ini,” katanya.
Tambah Norman, konsert itu akan menjadi kenangan abadi buat peminat KRU pelbagai generasi.
“Sebenarnya asal usulnya kami nak buat lagu dan konsert, namun kemudiannya jadi konsert pula. Namun, album berjudul Kaset akan tetap dihasilkan, beberapa lagu dari album akan dipersembahkan di konsert GenKRU.
“Seterusnya, jika ada konsert dalam tiga atau lima tahun lagi, ia akan menjadi konsep berbeza dan boleh dikatakan berikutan faktor usia. Jadi, boleh lihat tenaga persembahan kami berbeza sejak era 1990-an dan seterusnya.
“Jadi, kalau nak lihat KRU pada era 1990-an, boleh datang ke konsert ini dan mungkin kali terakhir anda lihat KRU membuat persembahan dengan konsep ini. Tahun depan, memang sah tiada, namun tak pasti jika masa depan,” katanya.
Yusry berkata, konsert di Singapura akan menjadi persembahan yang lebih intim dan dekat memandangkan kapasiti lokasi agak kecil berbanding Axiata Arena, di mana boleh memuatkan 5,000 peminat sahaja.
“Sepanjang dalam industri orang nampak kami bekerja di belakang tabir dan selalu buat konsert sendiri. Ini adalah kali pertama kami menggunakan khidmat Icon Entertainment untuk menguruskan konsert kami.
“Jadi, kali ini KRU dapat fokus kepada persembahan sahaja. Istimewanya, konsep ini lebih dekat dengan peminat. Kami mahu peminat rasa muda kembali, lupakan masalah dan kembali zaman remaja dan berseronok,” katanya.
KRU yang ditubuhkan pada 1992 sebelum mengumumkan pembubaran pada 2018 akan menghiburkan peminat menerusi Konsert GenKRU di Axiata Arena yang bakal berlangsung pada 3, 4 dan 10 Mei depan. – GayahIsTyping
You may also like
-
Single Inggeris Pertama Insomniacks ‘Awake & Dreaming’ – Manifestasi Evolusi Muzik & Kematangan
-
Awie Ucap Selamat Pengantin Baru Buat Erra Fazira – Titip Pesan Jangan Tunggu Lama
-
Turunkan Rakaman Kandungan Konsert – Rumah Produksi Merah Ambil Serius Isu Curi Rakam Dan Jual
-
Siti Nurhaliza Ucap Terima Kasih Kepada Anggota Bomba Pahang – Yayasan Nurjiwa Hulur Sumbangan Tanda Penghargaan
-
Erra, Ezwan Dalam Fasa Lebih Baik – Saling Kenal Mengenali Keluarga Masing-Masing