September 27, 2023

POLIS EVO 3 MEROKET RM41 JUTA

KUALA LUMPUR: Filem arahan Syafiq Yusof, Polis Evo 3 terus mendahului kutipan pawagam dengan RM41.3 juta dalam tempoh 12 hari termasuk tayangan awal, menjadikan filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures.

Kutipan itu menjadikan filem berkenaan mendapat kutipan tertinggi bagi tahun 2023 di Malaysia, sekali gus mengetepikan francais-francais besar antarabangsa yang pernah mendominasi kutipan tertinggi di pawagam tanah air.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara , Raja Jastina Raja Arshad berkata, kejayaan itu terhasil daripada sokongan penonton yang menjadi faktor utama dalam gelombang fenomena Polis Evo 3.

“Kami amat berbesar hati atas pencapaian luar biasa Polis Evo 3 setakat ini. Meskipun banyak filem baru dari francais popular Hollywood di pawagam ketika ini, namun karya tempatan masih mampu memberi saingan sengit.

“Terima kasih tidak terhingga kepada pihak pawagam yang banyak beri sokongan, kepada rakan-rakan media yang memberikan liputan meluas serta semua penonton Polis Evo 3 seluruh Malaysia serta barisan pelakon yang memberikan komitmen tinggi dalam mempromosikan filem ini,” katanya.

Sementara itu, siri jelajah hujung minggu lalu diadakan di Kedah, Penang, dan Perak dengan dibanjiri anggaran kehadiran lebih 100 ribu peminat.

Kehadiran pelakon utama Shaheizy Sam, Zizan Razak, Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Douglas Lim, Farali Khan serta pengarah Syafiq Yusof dan penerbit Joel Soh disambut meriah.

Barisan pelakon Polis Evo 3 bergambar dengan peminat yang hadir di siri jelajah Polis Evo 3 di Utara

Antara perkongsian peminat yang bertemu barisan pelakon di siri jelajah Polis Evo 3 di Utara

Ikuti siri jelajah Polis Evo 3 seterusnya 8, 9, 10, 11 di Singapura, Johor, Melaka. 14, 15, 16, 17, 18 Jun di Sabah dan Sarawak. Untuk butiran lanjut boleh rujuk di akaun media sosial Astro Shaw.

Filem arahan Syafiq Yusof ini menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.

Polis Evo 3 mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaru dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts