April 25, 2025

Turunkan Rakaman Kandungan Konsert – Rumah Produksi Merah Ambil Serius Isu Curi Rakam Dan Jual

Pengarah urusan Rumah Produksi Merah, Datuk Eddy Amir Salah memberi amaran kepada pihak yang memuat naik video kandungan konsert milik syarikat terbabit serta mengenakan caj, untuk menurunkannya serta merta.

Menurutnya, sekiranya masih berdegil, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Apa yang mereka buat adalah membeli tiket Wings di tempat paling hadapan dan membuat rakaman penuh malah, ada juga yang mengadakan sesi siarang langsung

“Kemudian, mereka mengenakan caj langganan bulanan. Pihak tidak bertanggungjawab itu difahamkan mengenakan caj antara RM16 hingga RM60 sebulan.

“Ini adalah cetak rompak alaf baru. Jika tidak dibendung, ia boleh menjejaskan penganjur konsert seperti kami. Berapa banyak mereka boleh buat duit hasil kerja haram ini.

“Kami bukan bercerita mengenai kerugiam tetapi impak kepada industri muzik,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Rumah Produksi Merah Bersama Media semalam.

Enggan isu sama terus berlarutan RPM berhasrat untuk bertemu dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia bagi mengetengahkan isu cetak rompak digital.

“Ini bukan isu baharu. Sudah banyak konsert lain yang pernah menjadi mangsa. Pertemuan ini diadakan untuk mencari kata sepakat untuk mengekang permasalahan ini terus berleluasa.

“Jika diikutkan, kami boleh mengambil tindakan berdasarkan amaran yang telah tertera di tiket iaitu larangan untuk membawa peranti dan merakam sepanjang konsert berlangsung.

“Tapi kami belum sampai ke tahap itu. Jadi, kami beri amaran ini untuk menurunkan posting tersebut,” katanya.

Menurut Eddy, pihak berkenaan turut mengaut keuntungan berlipat kali ganda bahkan mengganggu proses menjual kandungan kepada pihak berlesen.

Sementara itu, Awie turut meluahkan kekesalan yang sama apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menjual barangan eksklusif Wings seperti Tshirt tiruan.

“RPM merupakan pengeluar sah kepada barangan eksklusif Wings namun, masih ada pihak yang menciplak dan menjual secara haram.

“Ini juga antara masalah yang sedang kami hadapi ketika ini,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts