Selebriti terkenal di seluruh dunia yang terus berdiam diri mengenai perang Israel di Gaza mula merasai bahang kemarahan peminat menerusi kempen memulaukan mereka di media sosial dan platform penstriman.
Gerakan tersebut dikenali sebagai Block Out 2024 ataupun Digital Guillotine.
Bintang pop, Taylor Swift, penyanyi rap, Drake serta ramai lagi selebriti lain telah menjadi sasaran kempen tersebut yang bermula di platform TikTok.
Gerakan itu adalah tindak balas terhadap acara fesyen gilang-gemilang dan penuh glamor dinamakan Met Gala yang berlangsung di Bandar Raya New York baru-baru ini, di tengah-tengah penderitaan penduduk Palestin akibat serangan Israel.
Selama berbulan-bulan, aktivis pro-Palestin membanjiri ruangan komen di laman media sosial untuk meminta aktres, penyanyi popular dan selebriti lain supaya bersuara dan mendesak gencatan senjata dilaksanakan di Gaza.
Desakan mereka mencapai kemuncak selepas penganjuran Met Gala 2024 iaitu majlis kutipan derma penuh megah dan malam gala industri fesyen. Ia menampilkan bintang ‘kelas A’ dunia perfileman, pementasan, sukan dan peragaan.
Pada acara tersebut, pesohor media sosial, Haley Kalil menyiarkan video di platform TikTok menunjukkan dia mengajuk ungkapan Permaisuri Perancis, mendiang Marie Antoinette: ‘Biar mereka makan kek’.
Frasa tersebut melambangkan sikap tidak peduli bangsawan Perancis pada abad ke-18 terhadap golongan miskin yang kelaparan. Netizen mengaitkan kenyataan Kalil sebagai enggan mempedulikan nasib penduduk Palestin dan konflik di Gaza.
Bintang TikTok, ladyfromtheoutside yang memulakan gerakan Block Out 2024 kemudian membalas dengan berkata: “Kini, tiba masa untuk kita melaksanakan apa yang saya gelar ‘digital gilotin’ jika anda mahu.”
Ia merujuk kepada pisau gilotin yang digunakan untuk melaksanakan hukuman mati semasa Revolusi Perancis.
“Anda (selebriti) akan hilang tontonan (view) kami, tanda suka (like), komen dan wang kami,” tambahnya.
Mesejnya tersebar meluas dan digunakan sebagai seruan untuk gerakan pro-Palestin, manakala petunjuk awal setakat ini menunjukkan kempen boikot itu mula memberikan kesan.
Bintang realiti, Kim Kardashian yang menghadiri Met Gala 2024 telah kehilangan beratus-ratus ribu pengikutnya di laman Instagram sejak beberapa hari lalu, demikian menurut laman analisis, Social Blade.
Swift yang tidak menghadiri Met Gala kerana memberi tumpuan kepada konsert Jelajah Eras, turut hilang lebih 200,000 pengikut sejak Khamis lalu. – GayahIsTyping
You may also like
-
Makar Fest Cipta Sejarah – Issey Berjaya Pujuk M.Nasir Kembali Ke Kota Bharu
-
Mulanya Rakam Untuk Demo – Bila Sedap, Terus Jadi Single ‘Dengan Lafaznya’
-
Kempen ONEXOX Lucky Angpaw Huat Ah – 2.5 Juta Pelanggan Berpeluang Menang Hadiah RM8,888
-
Amy Search Muncul Konsert Solo – Guna Pengarah Muzik Beyonce
-
Along Cham Sah Lafaz Cerai Taklik – Semalam Bebas Tanpa Lepas Kes Dadah