October 11, 2024

Hussein Pesan Sentiasa Bersatu Hati – Cucu Kenang Amanat Arwah Veteran UMNO 

Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad meninggal dunia di kediamannya di Kampung Lemal, di Kelantan di sini selepas Subuh kira-kira 7 pagi tadi.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Bandar Pasir Mas di sini selepas solat Jumaat.

Hussein, 90, terdahulu dimandikan di kediamannya di Kampung Lemal dan dihadiri oleh kenalan rapat serta keluarga Allahyarham.

Anak bongsu Allahyarham, Huzman Hussein berkata bapanya meninggal akibat sakit tua dan kesihatannya semakin merosot sejak kebelakangan ini.

“Kami semua reda dengan pemergian bapa di hari Jumaat ini dan mohon semua doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

“Syukur semua urusan dipermudahkan dan kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua,” katanya ketika ditemui di rumah arwah.

Arwah dikebumikan selepas Solat Jumaat dan dimandikan di rumahnya di Kampung Lemal Pasir Mas Kelantan.    FOTO: Al-Rayyan

Cucu Allahyarham, Nur Bainun Huzman berkata Allahyarham seorang yang penyayang terutamanya dengan cucu-cucunya serta sering meninggalkan nasihat.

“Saya panggil arwah Tok Ayah dan saya ingat pesannya supaya kami semua sekeluarga sentiasa bersatu hati seperti selalu.

“Kasih sayang Tok Ayah sangat bermakna pada kami semua dan kami bersyukur ramai yang juga sayangkan arwah,” katanya.

Bainun, 32, berkata arwah datuknya dimasukkan ke wad di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian seminggu lalu akibat sesak nafas.

Arwah kemudian dibenarkan pulang pada Rabu lalu dan kami semua bersama dengan arwah sepanjang masa.

“Malam tadi arwah ada beritahu nampak arwah nenek dan saudaranya yang sudah meninggal dunia, tidak sangka itu antara tanda Tok Ayah akan pergi,” kongsinya.

Allahyarham  menghidap penyakit berkaitan saraf sejak sekian lama manakala isteri arwah, Puan Sri Khadijah Ibrahim yang menghidap penyakit darah tinggi, terlebih dahulu meninggal dunia tiga tahun lalu.

Hussein meninggalkan enam anak, lebih 30 cucu dan 20 cicit.

Sementara itu, Suraya Jusoh bekas penyampai yang dicungkil bakatnya oleh arwah ketika arwah mentadbir Manis FM Kelantan menyifatkan Hussein seorang yang tegas dan banyak berjasa.

“Tan Sri banyak beri peluang dan membentuk ramai penyampai termasuk saya sehingga berjaya. Arwah banyak buka peluang kepada kami dan anak Kelantan lain

“Saya bersyukur sempat menjenguk arwah ketika hayatnya meskipun sudah tidak lagi bersama Manis FM dan selepas dijual kepada pihak lain, jasa arwah sangat besar kepada saya.

“Arwah selalu pesan supaya jangan berpecah sentiasa bersatu padu,” katanya.

Hussein yang juga dikenali sebagai Hussein Serama antara pemimpin paling lama memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO Malaysia iaitu selama 14 tahun dari 1982 hingga 1999.

Hussein juga pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan dari tahun 1978 hingga 1982. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts