September 30, 2023

Wawa, Aeril Berjaya Lahirkan 10 Jutawan

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan Wawa Cosmetic, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal berhak berbangga apabila mereka berjaya melahirkan 10 jutawan sejak memulakan perniagaan empat tahun lalu, termasuk berjaya menempuh episod pandemik Covid-19.

Wawa berkata, dia dan suami sentiasa memikirkan cara untuk sama-sama memastikan mereka mampu mencipta kejayaan bersama peniaga yang setia serta percaya dengan mereka.

“Alhamdulillah kerana semua peniaga (reseller) di bawah kami sentiasa memberikan kepercayaan dan menyokong kami sejak mula berniaga sehingga ke hari ini.

“Bagi kami, ia juga satu tanggungjawab bagi kami untuk menghasilkan produk berkualiti dan boleh jual bagi memastikan mereka dan kami sama-sama dapat mencari pendapatan,” katanya ketika pada sidang media selepas majlis pelancaran Wawa Fruity Candy Liptint di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Aeril selaku tunjang utama yang sentiasa menyokong isterinya itu berkata, mereka sentiasa memastikan setiap produk yang dihasilkan mengikut rasional pasaran.

“Kami tidak boleh keluarkan produk pada kuantiti yang banyak sesuka hati dan kami mahu penjual dan peniaga yang bersama kami yakin barangan yang dihasilkan dan dibeli laku.

“Ibu pejabat hanya boleh menjual 1,000 unit produk sahaja selebihnya ialah melalui penjual kami,” katanya.

Aeril menambah, sehingga ke hari ini antara jumlah stock terbanyak yang dicatatkan oleh peniaga mereka ialah mencecah 200,000 unit secara ulangan.

Wawa, di sisi ketika ditanya antara momen yang masih segar sejak bergelar usahawan ialah ketika memulakan dan memberanikan diri berniaga tanpa pejabat.

Wawa Fruity Candy Liptint

“Kami sampai malu nak ajak orang datang ke rumah. Bayang setiap inci rumah penuh dengan stok yang banyak sebab kami tidak mampu miliki pejabat urusan,” katanya.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin, 31, melahirkan rasa syukur kerana berjaya sampai sehingga ke tahap ini.

“Tahun depan genap lima tahun kami bergelar usahawan. Saya pegang kata-kata sekiranya kami berjaya mengharung onak duri selepas tempoh ini, Insya-Allah perniagaan kami akan terus bertahan.

“Itulah antara doa saya dan suami dan terima kasih kepada semua yang setia dan percaya dengan kami,” katanya.

Wisma Wawa Cosmetic

Mengenai produk baharu, Wawa Fruity Candy Liptint dia berkata sebanyak 80,000 unit dikeluarkan dengan empat edisi iaitu epal, strawberry, peach dan tembikai di mana lebih 65,000 sudah dijual.

Mac lalu, Aeril menghadiahkan wisma bernilai RM3.2 juta iaitu bangunan tiga tingkat sebagai pusat bagi rangkaian perniagaan mereka Wawa Cosmetic selain menempatkan ruang pejabat dan gudang penyimpanan stok. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts