January 19, 2025

Babah Kisah Realiti Kasih Sayang – Ingatan Agar Hargai Seorang Bapa

Melangkah kaki masuk ke panggung dengan perasaan biasa-biasa sementelah filem Brother Of The Year dari negara seberang masih kuat berbekas di hati, bila berbicara mengenai naskhah kasih sayang keluarga.

Ternyata, penulis dikejutkan dengan sebuah karya menarik dan membekas di hati arahan Mohd Shah Faizul Ibrahim terbitan Nads Media Entertainment lebih-lebih lagi dengan lakonan cemerlang Qi Razali.

Babah sebuah karya ‘rendah diri’ yang tinggi nilai estetikanya sehingga membuat satu demi satu rasa rindu dan sesal hadir mengenang sejauh mana kita sebagai anak menghargai kasih sayang seorang insan bergelar bapa.

Mungkin penulis larut dalam emosi kerana kisah yang dipaparkan dekat dengan diri namun percayalah setiap anak pasti pernah berdepan dengan konflik seorang figura bergelar bapa.

Filem ini menjentik jiwa anak-anak supaya sentiasa sedar bapa atau apa juga gelar dan panggilan kita adalah insan yang mahukan anaknya menjadi yang terbaik.

Babah membawakan banyak simbolik kasih sayang seorang bapa dalam setiap tindakan termasuk sanggup bergolok gadai demi pelajaran dan kebahagiaan anak-anak.

Sama seperti arwah bapa yang saya gelar Abah, meski tidak pernah diberitahu tapi saya tahu abah beberapa kali berhutang demi memastikan anak-anak dapat menyambung pelajaran.

Malah saya tahu, prinsip arwah abah yang sanggup bergolok gadai demi memastikan pelajaran anak-anak diutamakan.

Hal seperti ini sangat dekat dalam kisah yang diangkat dalam Babah apabila Qi selaku Isyak menggadaikan jam mewah kesayangannya demi kelangsungan hidup anak dan isteri.

Konflik seperti pertengkaran anak dan bapa termasuk keterlanjuran kata anak yang tergamak membandingkan bapa sendiri dengan bapa orang lain juga pastinya dekat dengan kita semua sebagai manusia.

Penulis akui pernah ada rasa itu yang ternyata salah sama sekali dan membuat hati menyesal seumur hidup.

Apa juga perangai bapa kita hakikatnya dia adalah insan terbaik dan bukti kukuh hadirnya kita melihat bumi Allah ini dan sebagai anak jangan sesekali menafikan hal itu.

Selain Qi lakonan Christina Suzanne sebagai ibu (Hayati) juga sangat baik dan memberi kesan serta Maya (anak) yang dijayakan oleh Sweet Qismina.

Sweet juga tidak mengecewakan apabila mampu membawa watak anak dan isteri serta pesakit dengan berjaya dalam semua aspek.

Babah sebuah naskhah yang memberi pilihan baru buat penonton dalam menghayati cerita yang disampaikan dengan bersahaja dan dekat dengan hati.

Sekali lagi lakonan Qi yang tidak keterlaluan dilabelkan sebagai material pelakon terbaik wajar diberikan pujian lebih-lebih lagi dia sendiri belum berumahtangga serta mempunyai anak.

Filem ini belum sempurna dan ada beberapa bahagian yang boleh diperbaiki termasuk plot awal yang sedikit meleret serta beberapa kisah yang wajar dikembangkan namun sangat berbaloi untuk anda membelanjakan tunai dan melangkahkan kaki ke panggung.

Dalam anda tidak sedar, air mata akan mengalir deras keran rindu kasih sayang seorang bapa, seperti penulis yang sudah hilang insan bergelar Babah sejak 2009.

Masih di panggung dan pergilah menonton filem yang mengisahkan kasih sayang dan pengorbanan seorang ayah, Isyak, terhadap anak perempuannya, Maya, yang berjuang dengan Sindrom Guillain-Barré. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts