Figura ini terus ampuh kekal dalam liga penyanyi terbaik negara selepas muncul cemerlang dalam Konsert Sulung Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey yang berlangsung baru-baru ini.
Datuk Nora Ariffin membuktikan dirinya terus relevan sebagai anak seni meski sudah lebih tiga dekad bergelar penyanyi serta menempuh pelbagai onak duri dan sepak terajang industri.
Pada persembahan di hadapan 700 penonton di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ Pac), Nora beraksi dengan mempesona serta bertenaga membawa pelbagai lagu hit nyanyiannya.
“Terima kasih atas kasih sayang anda semua dan saya juga sayang anda semua,” tuturnya terharu di hadapan semua yang hadir.
Masih berbisa dengan lontaran vokal lagu-lagunya yang bernada tinggi Nora memukau dan berjaya mengekalkan graf persembahan yang menarik.
Pemilihan lagu-lagu juga bijak serta membawa khalayak sama-sama menelusuri karier nyanyian Nora.
Cerita dan penghargaan Nora terhadap arwah suaminya, suami sekarang serta anak-anak juga disusun kemas berselang seli sepanjang konsert berlangsung.
Nora turut merakam momen manis berpadu suara bersama anak-anaknya juga membawa Allahyarham Johan Nawawi berduet dengannya secara AI menerusi lagu Pinta.
Boleh dikatakan kesemua lagu Nora mengimbau kenangan masing-masing dan penonton turut secara sukarela mengiringi lontaran lunak vokal penyanyi kelahiran Kelantan itu.
Hanya Satu, Dendam Dalam Diam, Di Persimpangan Dilema, Desa Tercinta dan Joget Kelantan antara lagu yang dibawakan dan mencuri hati setiap penonton.
Nora turut melahirkan rasa kagumnya kepada rakan artis Ziana Zain yang digelar Primadona dan menjemput idolanya itu ke pentas.
Persembahan Nora antara rujukan terbaik untuk penyanyi muda yang sepatutnya hadir pada konsert berkenaan kerana mereka belum tentu mampu memberi energi pada level sama yang dipersembahkan penyanyi berusia 51 tahun itu.
Konsert itu dibawakan khas oleh syarikat Nora sendiri, Johan Nawawi Sdn Bhd (JNSB) dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Kumpulan MyCreative Ventures.
Secara keseluruhan, dengan lokasi yang sederhana, Nora berjaya meninggalkan momen indah pada konsertnya itu. – GayahIsTyping
You may also like
-
Sekuel Konsert Galau The Finale -Tampilkan Ungu, Rossa, Nidji, Fabio Asher, dan Exists
-
Babah Kisah Realiti Kasih Sayang – Ingatan Agar Hargai Seorang Bapa
-
Suria FM Kekal Barisan Penyampai – Catat Peningkatan 292 Ribu Pendengar
-
Ayda Jebat Terus Jadi Pilihan – Ada Jenama Kekal Sejak Sedekad
-
Kerja ‘Gila’ Awie – Bakal Persembah Lagu Level ‘TRX’ Pada Konsert TRIAD