PUCHONG: Pelakon dan usahawan Tya Ariffin nekad akan terus memperjuangkan persepsi baik tentang amalan jamu yang menjadi warisan nenek moyangnya.
Lantaran, bagi menantu kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza ini, dia ada cara sendiri untuk mempromosikan jamu jualannya mengikut pendekatan yang tertib.
Pada masa sama, pengasas jamu jenama Mutyara ini, menghormati cara pengasas produk sama yang lain termasuk menggunakan strategi gimik ekstrem misalnya menggunakan sosok tubuh.

“Bagi saya setiap individu yang mengeluarkan produk mempunyai ‘target market’, cara pemasaran sendiri selain tahu apa yang mereka mahukan. Setiap dari kita berbeza dan saya hormati. Mungkin itu cara mereka.
“Saya tidaklah sokong seratus peratus cuma saya hanya nak fokus kepada diri sendiri dan bukan nak berniaga untuk tempoh pendek. Saya tahu kualiti produk saya.
“Saya juga tak mahu fikir hanya nak viral, tapi lebih kepada penjenamaan itu sendiri. Jadi kenalah berfikir dalam skop yang lebih luas. Saya sendiri ada impian untuk bawa Mutyra ke peringkat yang lebih besar,” katanya.
Tya berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Produk & Memperkenalkan Dutanya, Anna Jobling di Wisma Mutyara di Puchong Utama, Selangor.
Berkongsi mengenai Jamu Mutyara dengan formulasi berbeza tanpa gula kini, jelas Tya ini adalah satu lagi kejayaan penting buat jenama berkenaan.
“Kita tahu ramai wanita di luar sana yang memerlukan produk yang menepati pilihannya. Seperti di Jamu Mutyara kami sentiasa mengambil berat akan setiap maklum balas pengguna.
“Melalui formulasi baharu ini kami hasilkan Jamu Mutyara tanpa gula. Namun di sebalik produk baharu ini apa yang penting khasiat yang tersedia dalam setiap produk Jamu Mutyara masih sama,” katanya.
Bersempena perlancaran produk terbaharu ini juga, ia turut dijual dengan harga pengenalan RM69 bermula 18 Ogos ini sehingga 22 Ogos depan. – GayahIsTyping