June 13, 2024

Oplus_131072

Romansa – Kisah Cinta Agung Ewal

Penyanyi lelaki versatil, Ewal Ismail menghadiahkan Romansa sebagai single terbaharunya buat peminat-peminat.

Menurut Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail,32 lagu ini berkisahkan mengenai percintaan antara dua insan.

Meski ia melambangkan sebuah percintaan yang lazimnya dikaitkan dengan balada lagu, namun menurut Ewal liriknya yang cukup mendalam membuatkannya dia bersetuju untuk membawakan Romansa.

“Saya tak nafikan lagu ini pada pandangan orang lain mungkin ia sekadar lagu cinta

seperti kebanyakan yang mereka dengar. Tetapi pada pandangan saya lagu ini mempunyai keunikannya tersendiri. 

“Romansa menceritakan mengenai pengorbanan seseorang kepada individu yang dicintainya. Cinta yang telah dibina itu enggan dipersiakan dan kalau boleh ingin kekal abadi seperti mana digambarkan menerusi bait lirik, menuju puncak di awan biru. 

“Jadi Romansa mempunyai maksud yang mendalam dan saya kagum dengan penulis lirik lagu ini yang menyusun seni kata cukup indah,” ujar Ewal.

Romansa merupakan ciptaan Fatin Sazwani dan liriknya ditulis oleh Faizal Sapuan.

Kedua-dua pengkarya seni ini merupakan anak kelahiran Singapura. Tambah Ewal, dia terpaksa menunggu hampir dua tahun untuk melancarkan Romansa berikutan terikat dengan pelbagai komitmen sebelum ini.

“Saya masih lagi bersama kumpulan Kristal sebagai vokalis utama. Jadi untuk Romansa, ini adalah projek untuk karier solo dan dalam masa yang sama Kristal adalah karier berkumpulan saya. 

 

“Untuk Romansa, saya mula rakamkan lagu ini sekitar dua tahun lepas dan ia mengambil masa yang agak lama kerana sebelum ini saya terikat dengan pelbagai komitmen. 

“Jadi saya terpaksa selesaikan terdahulu komitmen tersebut sebelum fokus dengan projek yang sudah lama dirancang termasuk single ini. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

“Harapan saya supaya pendengar-pendengar dapat menilai dan menerima Romansa dengan baik tanpa mengira umur dan bangsa. Saya percaya muzik itu adalah bahasa ohani kerana melodi dapat membuatkan setiap individu meluahkan apa yang tersirat,” katanya

Romansa yang diterbitkan oleh Jaybon dan Faizal Sapuan boleh diperdengarkan melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music bermula 31 Mei lalu dan video muzik Romansa juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube My Amin Record. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts