GIT MEDIA: Selepas hampir sedekad menanti, penyanyi Andi Bernadee akhirnya merealisasikan impian menghasilkan album sulung menerusi Ding Geding yang dijadualkan menemui peminat pada 5 Jun lalu.
Di sebalik perjalanan seni yang dilihat penuh warna-warni, Andi mengakui proses menyiapkan album tersebut bukanlah sesuatu yang mudah apabila dia terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah kesihatan fizikal dan mental yang hampir menjejaskan kerjaya nyanyiannya.
Menurut Andi, penantian selama sembilan tahun untuk melahirkan album pertama itu menjadi antara perjalanan paling bermakna dalam hidupnya sebagai anak seni.
“Sejujurnya saya rasa sangat lega dan bersyukur. Saya menunggu selama sembilan tahun untuk menghasilkan album pertama dan akhirnya impian itu menjadi kenyataan.
“Saya pernah melalui fasa di mana suara tidak keluar dan badan menggeletar, tetapi saya tetap ke studio dan meneruskan perjuangan selagi ada kudrat,” katanya.

Diterbitkan di bawah naungan Universal Music Malaysia, Ding Geding memuatkan 12 buah lagu yang mencerminkan perjalanan, emosi dan pengalaman hidup Andi sepanjang bergelar penyanyi.
Antara lagu yang paling dekat di hatinya ialah Seksa Jiwa, yang disifatkan sebagai antara karya paling mencabar untuk dihasilkan kerana membawanya keluar daripada zon selesa menerusi genre soul ballad.
“Menyiapkan Seksa Jiwa bukan sesuatu yang mudah kerana rentak itu bukan makanan saya. Tetapi apabila lagu itu siap sepenuhnya, ia menjadi antara lagu kegemaran saya dalam album ini.
“Lagu itu benar-benar memberi kesan apabila didengari seorang diri,” ujarnya.
Tambah Andi, album tersebut turut menggambarkan pelbagai emosi yang pernah dilaluinya, daripada kegembiraan dan kebahagiaan sehinggalah kepada rasa kecewa serta kekeliruan.
Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Sabah itu turut berkongsi kisah di sebalik pemilihan judul Ding Geding yang kedengaran unik dan luar biasa.
Katanya, inspirasi tajuk tersebut tercetus daripada filem klasik Melayu popular, Ahmad Albab, menerusi frasa “berding-geding” yang disebut oleh watak anak jin dalam karya berkenaan.
“Saya mahu sesuatu yang apabila orang dengar, mereka terus tertarik dan tertanya-tanya.
“Sama seperti album ini, setiap lagu mempunyai warna dan identitinya yang tersendiri,” katanya.
Melalui album sulung itu, Andi berharap setiap lagu yang dihasilkan mampu menjadi peneman kepada mereka yang sedang melalui fasa sukar dalam kehidupan. – GIT MEDIA
