Sibuk Sebagai Ahli Perniagaan dan Duta AC Gas- Rosyam Nor Belum Pencen Berlakon

GIT MEDIA: Aksinya di layar perak dan kaca televisyen masih dinantikan peminat, malah empunya diri Datuk Rosyam Nor sendiri mengesahkan dirinya masih belum pencen meskipun kini sibuk sebagai ahli perniagaan dan duta AC Gas.

Rosyam yang ditemui pada majlis Riang Ria Raya ACGas, baru-baru ini bagaimanapun memilih untuk lebih aktif membintangi drama.

“Sebenarnya saya memang sudah lama saya tidak muncul dalam telefilem mahupun drama bersiri, cuma fokus kepada beberapa filem sahaja.Kelas Lakonan

“Tapi sampai satu masa ada orang tegur, mereka tanya ‘Rosyam dah berhenti berlakon ke?’. Saya cakap tidak, saya masih berlakon.

“Cuma sebab lama tak muncul di televisyen, nampak macam menghilang pula. Jadi sekarang saya nak rancak semula,” katanya.

Selain Rosyam, acara anjuran AC Gas itu turut dihadiri seorang lagi duta iaitu primadona Erra Fazira, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman (CEO), Che Mohd Faizul, Che Abdullah (CMO), Mohd Nizam Bin Ismail (COO) dan Datuk Seri Hazani serta dimeriahkan dengan persembaha nyanyian Ernie Zakri.

Kira-kira 3,000 tetamu jemputan hadir terdiri daripada rakan niaga dan undangan AC Gas.

Bercerita lanjut, Rosyam berkata dirinya perlu selektif memandangkan beberapa projek untuk tayangan di panggung wayang sedang menanti selain perlu memenuhi jadual promosi filem yang sudah disiapkan.

“Ketika ini saya cuma ambil satu atau dua projek drama bersiri sahaja, tapi untuk filem, alhamdulillah. Ada yang sudah siap, ada juga bakal masuk set.

“Pada 30 April ini akan keluar filem Pewaris Susuk, kemudian saya akan ke set Blood Brothers 2 dan seterusnya Memoir Seorang Guru 2 sekitar Disember nanti,” katanya.

Pada masa sama Rosyam juga mengakui teruja bergandingan semula dengan pelakon Rita Rudaini selepas sekian lama.

“Sebelum ini kami kerap berpasangan dalam drama. Kali terakhir saya berlakon dengan Rita adalah menerusi filem Balistik sekitar 2014. Lebih sedekad berlalu.

“Dia juga antara heroin yang diminati ramai apabila saya muncul dalam drama bersiri sebelum ini. Saya pun tak sabar tunggu drama baharu kami,” jelasnya.

Akuinya lagi, mereka bakal muncul bersama dalam drama terbaharu berjudul Jiwa Seorang Pentaksub yang dijangka ditayangkan pada Jun ini di TV3. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *