January 19, 2025

Balai Seni Negara Perkasa Kreativiti Generasi Muda – Program Sayembara Lukisan Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa YAE Generation Artpreneur

Balai Seni Negara baru-baru ini merasmikan Program Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa dan Program Young Art Entrepreneurs (YAE!) – Generation: Artpreneur. 

Majlis dirasmikan oleh Shaik Rizal Sulaiman, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) di GMBB, Kuala Lumpur. Beliau turut menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada peserta bagi kedua- dua program.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, Pengurus Besar GMBB, Lim Ying Hui, pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi, wakil Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta para penggiat seni.

Program Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa adalah inisiatif Balai Seni Negara yang bertujuan mengangkat seni sebagai medium untuk memelihara dan menghayati warisan sastera, sekaligus memperkukuh identiti budaya negara.

Program ini tercetus daripada seruan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyeru masyarakat untuk bersama-sama menghargai naskhah sastera sebagai alat pendidikan, pembangunan jati diri, dan pengukuhan nilai kemanusiaan.

Selain itu, program ini juga bertujuan mendorong generasi muda untuk lebih terlibat dalam bidang sastera sambil menjadikan sastera sebagai wadah penyatuan pelbagai lapisan masyarakat.

Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa berjaya menarik penyertaan daripada 13 institusi pengajian tinggi, termasuk IPTA dan IPTS. Menerusi program ini, sebanyak 142 karya telah dihasilkan, terdiri daripada 123 karya catan, 11 karya arca, dan 8 video. Antara yang terlibat adalah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Institusi lain yang turut serta ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah, UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang, dan UiTM Cawangan Sarawak. Tidak ketinggalan, Institut Seni Lukis Malaysia (MIA) dan Taylor’s College.

Program ini memberi tumpuan kepada penghasilan karya seni visual yang diinspirasi daripada naskhah agung sastera seperti novel klasik dan cerpen karya sasterawan terkemuka.

Ia bermatlamat mempromosikan bidang seni dan sastera secara serentak, serta menggalakkan kreativiti dan inovasi pelajar dalam mempersembahkan interpretasi seni yang mendalam.

Program Young Art Entrepreneurs (YAE!) kohort ke-10 menampilkan 17 peserta dengan tema ‘Generation: Artpreneur’, yang menggabungkan seni (art) dan keusahawanan (entrepreneur) sebagai aspirasi kepada generasi muda yang kreatif dan inovatif.

Tema ini mencerminkan pendekatan segar dalam usaha melahirkan usahawan seni yang berdaya saing di mana sebagai sebahagian daripada program, sesi Business Pitching oleh para peserta turut diadakan.

YAE! dianjurkan sejak tahun 2017 yang bertujuan untuk memberi persediaan kepada penggiat seni muda dalam melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan ciri‐ ciri keusahawanan serta telah melahirkan seramai 155 orang usahawan seni.

Sepanjang pelaksanaannya, para peserta didedahkan dengan asas keusahawanan, kaedah pengurusan projek, teknik promosi dan pemasaran serta kaedah membina ‘Business Model Canvas’ yang betul.

Para peserta juga dilatih untuk membangunkan produk dan perkhidmatan mereka mengikut kesesuaian pasaran seni dengan bimbingan pakar keusahawanan serta pakar industri.

YAE! bukan sahaja mampu membentuk para penggiat seni muda untuk menjadi usahawan yang kreatif dan berjaya, malah dilihat mampu untuk memperkasa ekonomi negara melalui penjualan produk seni yang dihasilkan.

Memasuki kohort ke-10, program ini memberi tumpuan kepada jalinan kerjasama strategik dengan syarikat swasta, rakan pelukis, dan organisasi yang bersesuaian untuk mengukuhkan penghasilan produk seni serta perkhidmatan yang berkualiti.

Peserta YAE! telah berjaya membentuk kolaborasi strategik bersama pelbagai pihak seperti MAKERZ, Hikari Raiders, Tiffin Jeiwa, PETRONAS Young Professionals Club (YPC) dan pelukis terkenal, Kupeh Rodriguez.

Kolaborasi ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan nilai produk seni, memperluas peluang pemasaran, dan membina rangkaian profesional yang kukuh. Langkah ini secara tidak langsung menyumbang kepada pengukuhan ekosistem seni tempatan serta membuka laluan untuk perkembangan industri yang lebih dinamik.

Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa dipamerkan bermula 14 Disember 2024 hingga 31 Januari 2025 di GMBB, Kuala Lumpur. Manakala, pameran akhir Young Art Entrepreneurs (YAE!) – Generation: Artpreneur berlangsung bermula pada 14 hingga 22 Disember 2024 di lokasi sama.

Pameran dibuka setiap hari, bermula jam 11.00 pagi hingga 8.00 malam. Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara di www.artgallery.gov.my. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts