Radio Raya – Radio Kekal Penyeri Lebaran, POV Tiga Penyampai Suria FM

Sempena Syawal 2026, GIT Media berkoloborasi dengan jenama fesyen ikonik O’oi Couture membawakan bingkisan mengenai Radio Raya dengan menampilkan tiga bunga penyampai Suria FM iaitu DJ Lin, Cik Pia dan Elly Arifin dalam persalinan eksklusif busana Raya 2026 rekaan pereka yang lebih sedekad bekerjasama dengan barisan selebriti A lists dan pelanggan VVIP yang mesra dikenali dengan nama O’oi.

GIT MEDIA: Dalam dunia serba digital hari ini, ramai mungkin beranggapan radio semakin tenggelam ditelan zaman. Namun setiap kali Syawal menjelma, satu perkara tetap tidak berubah, radio kembali mengambil tempat sebagai penyeri suasana Hari Raya, menghidupkan emosi dan nostalgia yang sukar ditandingi oleh mana-mana platform lain.

Alunan lagu raya yang berkumandang di corong radio bukan sekadar hiburan, tetapi membawa nilai sentimental yang mendalam. Dari lagu klasik sehinggalah ke karya moden, setiap susunan lagu terasa seperti perjalanan emosi yang membawa pendengar kembali ke momen-momen indah pulang ke kampung, persiapan malam raya, hingga ke pagi Syawal yang penuh makna.

GIT Media menelusuri fenomena ini secara eksklusif bersama barisan penyampai daripada Suria FM, DJ Lin, Cik Pia dan Elly Ariffin yang berkongsi pandangan tentang mengapa radio kekal relevan setiap kali musim perayaan.

Menurut DJ Lin, radio bukan sekadar medium tradisional, tetapi terus berevolusi mengikut peredaran masa. Selain menjadi teman setia pemandu di jalan raya terutamanya ketika perjalanan pulang ke kampung radio kini juga mudah diakses melalui platform digital dan penstriman.

“Radio masih relevan sebab dia ‘hidup’. Lagu-lagu raya yang dipasang pun disusun dengan teliti, ikut flow dan era. Ada rasa perjalanan emosi bila kita dengar,” jelasnya. Susunan ini menjadikan pengalaman mendengar lebih tersusun dan ‘berjiwa’, sesuatu yang sukar dirasai melalui playlist rawak.

Bagi Cik Pia pula, ‘demam’ Radio Raya sebenarnya bermula seawal Ramadan. Permintaan lagu raya mula membanjiri konti sebaik sahaja bulan puasa bermula, membuktikan keterujaan pendengar terhadap musim perayaan.

Apa yang menjadikan radio lebih istimewa, katanya, adalah sentuhan peribadi yang tidak boleh ditiru oleh algoritma. Ucapan raya yang dibacakan secara langsung oleh penyampai, lengkap dengan dedikasi lagu pilihan pendengar, memberikan pengalaman yang lebih dekat dan bermakna.

“Bila kita bacakan ucapan pendengar, ada emosi di situ. Mereka boleh pilih lagu sendiri, dan kita sampaikan dengan cara yang lebih ‘personal’,” tambahnya.

Sementara itu, Elly Ariffin melihat radio sebagai medium evergreen yang tidak pernah lapuk dek zaman. Baginya, lagu raya di radio mempunyai ‘rasa’ yang berbeza lebih hidup, lebih menyentuh jiwa.

“Radio bantu hidupkan lagu raya, tak kira lama atau baharu. Ia juga platform penting untuk perkenalkan lagu raya baru kepada pendengar,” ujarnya.

Hakikatnya, walaupun platform digital memberi kebebasan memilih lagu tanpa batas, radio menawarkan sesuatu yang lebih besar pengalaman kolektif. Ia menghubungkan jutaan pendengar dalam satu masa, berkongsi rasa, memori dan suasana yang sama.

Daripada suara penyampai yang mesra, susunan lagu yang penuh emosi, hingga ke ucapan-ucapan raya yang menyentuh hati radio mencipta satu ‘ritual’ yang tidak pernah pudar setiap kali Aidilfitri menjelang.

Jadi, di saat dunia terus bergerak pantas dengan teknologi, radio membuktikan satu perkara kadang-kadang, yang paling klasik itulah yang paling dekat di hati.

Dan setiap kali lagu raya berkumandang di udara, kita tahu, Raya menjelang tiba. Seperti semangat yang dibawa oleh stesen Suria FM pada kempen Syawal kali ini, Kurnia Penuh Makna! – GIT MEDIA

Penyelaras: Wan Rashid
Busana: O’oi Couture
Lokasi: MiCasa All Suites Hotel (Elya & Jenny)
Jurufoto: Asri Palong
Jurusolek: Eja Acol & Sara
Rambut: Kak Su
Makanan: Restoran Sajian Nenda / The Fluffy Donuts / The OG Kukis Kelapa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *