Gurindam Aidilfitri Naskhah Lebaran Suria FM – Teruskan Tradisi Lagu Raya Kali Ini Bersama Toyota

GIT MEDIA: Sempena meraikan Aidilfitri 2026, Suria FM dengan kerjasama Toyota tampil melancarkan lagu dan muzik video (MV) berjudul Gurindam Aidilfitri.

Dilancarkan secara rasmi pada 9 Mac lalu, lagu tersebut menyatukan suara penyampai popular stesen berkenaan seperti Fad, Ajak, Elly, Cik Piah, Chiwan, Kai, Irsyad dan DJ Lin dalam satu karya yang penuh keceriaan.

Pengurus Besar Suria FM Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin berkata, apa yang menarik, Gurindam Aidilfitri bukan sekadar lagu raya biasa. Ia menggabungkan elemen moden dengan sentuhan tradisional, menjadikannya mudah melekat di telinga, namun tetap mengekalkan jiwa klasik Aidilfitri.

“Di sebalik melodi yang ringan dan ceria, terselit nilai yang cukup dekat dengan masyarakat, tentang keluarga, kemaafan dan hubungan yang kembali dirapatkan selepas setahun berlalu,” katanya.

Diterbitkan oleh Lsandbeats Legacy dengan komposisi daripada Luca Sickta dan Nazif Analog, lagu ini juga diberi nafas puitis menerusi lirik yang ditulis bersama B-Heart.

Hasilnya, ia bukan sekadar hiburan, tetapi turut mengajak pendengar mengimbau makna sebenar raya, bukan pada kemewahan semata-mata, tetapi pada rasa syukur dan kebersamaan.

Muzik videonya pula membawa penonton menyelusuri momen-momen yang cukup sinonim setiap kali Syawal menjelma.

Kongsi DJ Lin, dari babak memohon maaf di pagi raya, kunjung-mengunjung ke rumah saudara-mara, hinggalah ke suasana berkongsi juadah bersama, semuanya digarap dengan sentuhan visual yang hangat dan dekat dengan realiti masyarakat Malaysia.

Tidak ketinggalan, elemen perjalanan pulang ke kampung turut diselitkan, menggambarkan antara detik paling dinanti setiap tahun.

Menariknya lagi, pelancaran lagu ini turut diserikan dengan inisiatif interaktif apabila Suria FM memperkenalkan ‘Gurindam Aidilfitri Dance Challenge’.

Cabaran berkenaan membuka ruang kepada orang ramai untuk turut sama menjadi sebahagian daripada kemeriahan, bukan sekadar sebagai penonton tetapi juga pencipta momen bersama keluarga dan rakan-rakan.

Lebih menarik, cabaran ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sehingga RM3,000, dengan ganjaran RM1,500 untuk tempat pertama, RM1,000 bagi tempat kedua dan RM500 untuk tempat ketiga.

Gurindam Aidilfitri hadir mengisi ruang antara tradisi dan modeniti. Ia tidak cuba menggantikan lagu-lagu lama, tetapi menawarkan pilihan baharu sesuai dengan cita rasa generasi kini tanpa melupakan akar budaya. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *