Lotus Dan Gema Raya Edar 100 Kotak Makanan Kepada Pengunjung – Jualan Murah Promosi Menarik Beterusan Sehingga Malam Raya

GIT MEDIA: Karnival jualan sempena sambutan Syawal, Gema Raya Putrajaya 2026 terus meriah dengan pelbagai aktiviti serta tawaran menarik termasuk promosi jualan murah yang berlangsung sehingga malam raya pada Khamis ini.

Lebih menarik Gema Raya Putrajaya 2026 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) Bersama pasar raya Lotus turut mengedarkan 100 kotak makanan kepada pengunjung bertuah yang mengandungi pelbagai barangan keperluan asas termasuk makanan kering dan minuman.

Sabtu lalu juga, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersama Presiden Perbadanan Putrajaya mengadakan sesi walkabout di lokasi penganjuran program berkenaan serta menilai impak program terhadap komuniti, usahawan tempatan dan ekonomi setempat.

Pada malam itu juga Jualan Agro Madani turut berlangsung dan menarik ramai pelanggan yang hadir merebut peluang mendapatan barangan keperluan pada harga runtuh.

Program Gema Raya Putrajaya 2026 merupakan sebuah festival Ramadan dan Aidilfitri yang dianjurkan selama 33 hari berturut-turut sehingga malam raya. Penganjuran ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk rakan strategik, penaja korporat serta agensi kerajaan yang bersama-sama menjayakan program tersebut. Antara rakan kerjasama utama ialah pihak pengurusan PICC, selain penaja seperti Lotus’s, Proton dan Guardian yang menyokong pelbagai aktiviti dan tawaran menarik kepada pengunjung.

Penganjur carnival itu, Rayme Zainal berkata kerjasama denga FAMA juga turut menambah nilai kepada penganjuran kali ini melalui penyertaan program jualan Agro Madani, yang memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pelbagai produk agro dan makanan segar pada harga yang berpatutan. Inisiatif ini bukan sahaja membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang lebih mampu milik, malah turut menyokong usaha mempromosikan hasil pertanian tempatan.

Sepanjang tempoh penganjuran, pelbagai program diadakan bagi memeriahkan suasana Ramadan dan persiapan menjelang Aidilfitri. Antaranya termasuk bazar jualan Aidilfitri yang menawarkan pelbagai barangan seperti pakaian raya, makanan tradisional, produk tempatan dan keperluan harian. Selain itu, program ini turut menampilkan pengisian berbentuk ilmiah seperti ceramah Ramadan, aktiviti keagamaan, serta persembahan seni dan budaya yang sesuai untuk seisi keluarga.

Dalam masa yang sama, kehadiran pelbagai vendor dan usahawan kecil dan sederhana (PKS) di bazar ini turut membuka ruang kepada mereka untuk memperluaskan pasaran serta memperkenalkan produk masing-masing kepada orang ramai.

Selain aktiviti jualan, pihak penganjur turut menyediakan pelbagai tarikan bagi menarik kehadiran pengunjung. Antaranya termasuk aktiviti pentas, promosi jualan istimewa, sesi “happy hour” oleh vendor serta pemberian baucar pembelian kepada pengunjung. Malah, antara tarikan utama tahun ini ialah peluang untuk memenangi sebuah kereta elektrik Proton melalui cabutan bertuah kepada pengunjung yang membuat pembelian di festival berkenaan.

Kemeriahan program ini lazimnya bermula selepas waktu berbuka puasa, dengan kebanyakan pengunjung mula hadir sekitar jam 8.30 malam untuk membeli-belah, menikmati pelbagai hidangan serta menyertai aktiviti yang disediakan. Infrastruktur lengkap di kawasan Putrajaya International Convention Centre seperti kemudahan parkir yang luas, surau dan kemudahan awam turut menjadikan lokasi ini sesuai sebagai pusat penganjuran acara berskala besar.

Gema Raya 2026 turut dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal seperti Ernie Zakri, Khai Bahar, Aina Abdul dan kumpulan ALPHA. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *