May 19, 2024

Ziana Zain Akui Belum Layak

PETALING JAYA: Pengalaman lebih tiga dekad dirinya dalam bidang seni masih belum cukup untuk bergelar Biduanita Negara, demikian menurut Ziana Zain merendah diri.

Diva kesayangan ramai itu berkata gelaran dan anugerah itu belum layak untuk diirinya yang menganggap masih belum sesuai membawa gelaran berprestij itu.

Bagi Ziana, 56, anugerah tersebut hanya layak diberikan kepada anak seni yang serba boleh baik dari bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

“Saya baru 33 tahun dalam industri, belum layak jika diberikan gelaran Biduanita Negara. Perjaungan saya dalam industri ini pun belum sampai setengah abad.

“Banyak lagi senior saya yang lebih sesuai kerana mereka sudah lakukan pelbagai perkara dan bekerja keras pada zamannya.

“Cuma pada masa kini mereka tidak kedepan, jadi orang tidak tahu. Saya takut ada perasaan tidak adil kepada senior kita. Mereka adalah inspirasi untuk kami jadi lebih baik,” katanya dalam Sesi Khas Bersama Media Sempena Ziana Zain Konsert 2024 semalam.

Ziana berkata demikian bagi mengulas mengenai namanya yang disebut sebagai antara anak seni yang layak menyandang gelaran Biduanita Negara.

Bagi penyanyi Madah Berhelah itu lagi, lumrah bagi peminat untuk memperjuangkan artis mereka, namun urusan pemilihan Biduanita Negara biarlah ditentukan oleh kearifan panel juri.

“Datuk Sharifah Aini memang layak bergelar Biduanita Negara kerana bakat dan penglibatannya dalam bidang suara, pengacaraan dan lakonan. Itupun mengambil masa bertahun-tahun sebelum diiktiraf.

“Biarlah gelaran itu diberikan oleh orang yang arif dalam penilaian kepada artis yang benar-benar layak.

“Kita tak boleh calonkan diri sendiri. Peminat memang mahukan yang terbaik buat artis kesayangan mereka, namun mereka adik-adik yang mungkin tidak faham maksud sebenar gelaran berkenaan.

“Saya belum boleh terima gelaran itu, ia terlalu besar,” tuturnya.

Bercakap kepada GayahIsTyping, Ziana mengakui Datuk Seri Siti Nurhaliza antara calon yang layak untuk gelaran berkenaan berdasarkan prestasi dan pencapaiannya.

“Siti Nurhaliza pada liga berbeza dan memiliki pencapaian yang sangat membanggakan dalam industri seni,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts