March 20, 2025

ERA SURIA, DI SINI SEGALANYA TERKINI – Bersaing Tak Perlu Bermusuh

KUALA LUMPUR : Buat julung kalinya, stesen radio Suria FM dan ERA bakal bersiaran secara serentak di kedua-dua frekuensi menerusi gabungan segmen pagi “Morning Morning Suria” dan “3 Pagi ERA” pada 23 Oktober ini (Isnin) dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Diinspirasikan oleh CelcomDigi, kedua-dua stesen ini akan disatukan melalui penjenamaan “ERA SURIA, Di Sini Segalanya Terkini”, menjanjikan hiburan ‘radio tanpa batas’ dengan menghiburkan para pendengar melalui gandingan hebat dari barisan penyampai seperti Ajak, Shuib, Suraya, Nabil, Azad dan Radin!

Selain mendengar celoteh dari barisan penyampai, pendengar juga bakal dihiburkan dengan pelbagai topik menarik dan pilihan lagu bertemakan duet yang bakal dimainkan secara serentak dari kedua stesen.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), Suria FM menyambut baik pelawaan Era FM untuk gabungan yang bakal mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records ini.

“Diharapkan jalinan sebegini dapat membuka pintu ruang kerjasama yang lebih aktif dan agresif di masa mendatang sekaligus dapat menjadi rujukan kepada pengamal radio yang lain untuk mengambil pendekatan yang sama di samping mewujudkan persepsi positif masyarakat terhadap industri radio di Malaysia”, katanya.

Hani Fadzil, Pengurus Kandungan ERA, berkata ERA teruja untuk bersama-sama Suria FM dalam menjayakan ERA SURIA, Di Sini Segalanya Terkini yang bakal menemui peminat pada 23 Oktober ini.

“Meskipun kolaborasi ini menggabungkan dua jenama dari latar belakang yang berbeza, kami percaya bahawa di penghujung hari, kandungan dan pengisian yang diterima oleh para pendengar adalah perkara utama.

“Kami juga ingin mempamerkan persaingan sihat di antara jenama radio dengan berkongsi nilai dan matlamat yang sama, seperti CelcomDigi, kami percaya bahawa ERA dan Suria FM akan Gagah Bersama”, katanya

Jangan lupa dengarkan “ERA Suria, Di Sini Segalanya Terkini” di frekuensi Suria FM dan ERA juga di aplikasi Suria Malaysia dan SYOK pada 23 Oktober 2023 dari jam 6 pagi sehingga 10 pagi. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts