Penyanyi muda Iman Darwisy, mempertaruhkan sepenuh jiwa dalam single terbaharunya berjudul Kehilangan yang mengangkat kasih sayang dan kerinduan terhadap seseorang.
Kehilangan adalah ciptaan sepenuhnya oleh Ilham Baso yang bertindak sebagai komposer, penulis lirik, penerbit serta penyusun muzik, manakala penerbit eksekutif adalah Noorazreen.
“Saya membesar dengan lagu-lagu genre perlahan dan balad dan memang mudah menjiwai lagu macam ini, sebab itu saya pilih Kehilangan sebagai single terbaharu saya.
“Kalau boleh, saya nak ekspresikan penghargaan dan kasih sayang kepada orang yang saya sayang, terutama orang terdekat. Bagi saya, lagu ini boleh jadi simbol perasaan ramai orang,” katanya.
Tambah Iman yang baru berusia 15 tahun, Kehilangan juga menjadi pencapaian manis buat Iman apabila ia merupakan lagu solo keduanya pada usia yang masih muda.

“Alhamdulillah, ini single kedua saya. Saya sangat bersyukur sebab pada usia 15 tahun sudah ada dua single sendiri. Semua ini hasil sokongan ibu bapa dan juga Ilham Baso yang hasilkan lagu serta lirik yang sangat menyentuh hati dan sesuai dengan jiwa saya.
“Saya harap lagu ini boleh beri mesej yang baik kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu Iman berharap Kehilangan dapat diterima pendengar dan menjadi lagu pilihan ketika mengenangkan insan tersayang.
Akuinya, single berkenaan juga secara peribadi didedikasikan khas buat datuknya yang meninggal dunia tahun lalu.
“Saya memang terkenangan atuk saya ketika merakamkan lagu ini dan masih ingat arwah atuk antara penyokong kuat saya,” katanya.
Meskipun masih mudah, Iman juga mengakui minat dalam bidang perniagaan dan bercita-cita mahu mempunyai perniagaan kosmetik dengan jenamanya sendiri.
“Saya memang suka berniaga dan Datuk Seri Vida antara ahli pernigaan yang saya suka,” katanya. – GIT MEDIA
