Jika sebelum ini mereka bergandingan dalam filem Janji Diana, dua pelakon hebat tanah air Erra Fazira dan Datuk Rosyam Nor buat kali pertama dipilih sebagai duta Bersama gas memasak jenama ACGAS bagi tahun 2026.
Erra menyambut baik gandingan itu dan menyifatkan perlantikan mereka sebagai sesuai dengan rutin dan gaya hidup masing-masing meskipun bergelar selebriti terkenal.
“Kami juga seorang pengguna yang menggunakan gas memasak dalam rutin harian pada masa sama mahukan pilihan yang lebih baik dengan ciri jaminan keselematan yang memang ada pada ACGAS.
Rosyam senada dengan Erra dan berkongsi, Kerjasama antara mereka tercetus selepas ACGAS muncul sebagai penaja podcast yang dikendalikannya Bersama Erra berjudul Hitam Putih Kehidupan.
“Ia seperti perkahwinan kami dengan ACGAS dalam meneruskan Kerjasama termasuk menyebar luaskan penggunaan gas memasak dengan selamat bagi setiap keluarga dan diharap ia berkekalan pada tahun mendatang,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif ACGAS, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman, berkata pelantikan dua ikon ini selari dengan aspirasi syarikat untuk membawa perubahan dalam persepsi masyarakat terhadap penggunaan gas domestik.
“Produk gas bukan sekadar keperluan, tetapi melibatkan aspek keselamatan keluarga. Dengan kehadiran Rosyam Nor dan Erra Fazira sebagai duta, kami mahu membina hubungan yang lebih kukuh antara jenama dan pengguna, berasaskan kepercayaan, keyakinan serta kesedaran tentang teknologi silinder komposit yang lebih selamat dan moden,” katanya.
Tambah Nik, langkah ini juga dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh kedudukan ACGAS sebagai penyedia silinder LPG komposit yang selamat, ringan dan inovatif untuk pasaran Malaysia. Silinder komposit yang diperkenalkan bukan sahaja lebih ringan dan tidak berkarat, malah direka untuk meningkatkan tahap keselamatan penggunaan di dapur serta memudahkan pengendalian oleh pengguna.
Integrasi teknologi Internet of Things (IoT) dan RFID pada setiap silinder membolehkan pemantauan inventori secara masa nyata, penjejakan pengedaran serta ketelusan dalam proses pengisian semula, sekali gus meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
Melangkah ke hadapan, ACGAS menunjukkan pertumbuhan fizikal yang progresif menerusi kerjasama pelaburan bernilai hampir RM100juta untuk membangunkan fasiliti pembuatan silinder komposit tempatan. Kemudahan ini bakal meletakkan Malaysia sebagai hab eksport bagi pasaran Asia, sekali gus mengukuhkan peranan ACGAS bukan sahaja sebagai pengedar, tetapi juga pengeluar strategik dalam industri LPG serantau.

Dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, ACGAS menyasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya 10 peratus pasaran LPG Malaysia dengan menggantikan secara berperingkat silinder besi tradisional kepada silinder komposit yang lebih selamat dan mesra pengguna. Syarikat turut merancang memperkukuh ekosistem “Smart Energy” melalui pendigitalan menyeluruh, termasuk keupayaan menjejak silinder dan memudahkan pesanan gas secara pintar.
“Visi jangka panjang kami adalah untuk menjadikan silinder komposit sebagai standard keselamatan baharu di Malaysia. Kami mahu memacu revolusi keselamatan dalam penggunaan LPG, sambil memastikan rakyat mendapat akses kepada produk yang lebih moden, selamat dan berkualiti tinggi,” ujar Nik. – GIT MEDIA
