Misteri ‘Gangguan’ Di MBSA – Elaine Kang Mangsa Terbaharu, Jatuh Sebaik Selesai Persembahan

Misteri Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) khabarnya sudah menghantui mangsa pertama musim baharu Gegar Vaganza pada konsert sulung Ahad lepas.

Datuk Elaine Kang berkongsi, beliau terjatuh sebaik selesai membuat persembahan ketika menuju ke belakang pentas mengakibatkan tapak tangan sedikit luka dan sakit di bahagian kakinya.

“Sebenarnya, saya mengenakan baju yang besar dan berat menyebabkan saya hilang imbangan ketika berjalan menuju ke belakang pentas sebaik membuat persembahan.

“Lagipun laluan di situ tidak rata dan saya juga turut memakai kasut tumit tinggi. Saya yang salah sebenarnya kerana tidak berhati-hati,” jelasnya.

Beliau berharap keadaan kakinya sembuh dan akan menjalani pemeriksaan sinar-x jika masih berlarutan.

Elaine yang mesra disapa Kakak Elaine memberitahu, beliau sendiri yang memilih untuk mengenakan pakaian berona putih meskipun mengakui ia agak mencabar.

“Saya suka baju ini kerana ia istimewa melambangkan kebebasan dan terbang seperti belon menggambarkan diri saya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada krew produksi khasnya yang banyak membantu menjayakan persembahan saya,” katanya yang popular sekitar tahun 80-an.

Elaine ternyata membawa kredibiliti terpuji sebagai bintang senior yang merendah diri menyusun kata dan bijak melayan setiap pertanyaan media.

Malah Elaine sendiri memilih untuk bertutur dalam Bahasa Melayu setiap kali ditemubual.

Beliau bakal membawakan lagu dendangan asal Raja Ema berjudul Angan-Angan pada Ahad ini. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *