Melly Goeslaw Akui Peminat Misha Omar- Misha Terharu Break Satukan Mereka

Penyanyi bersuara emas, Misha Omar, hadir dengan buah tangan terbaru berjudul Break yang dilancarkan dalam sebuah majlis penuh emosi baru-baru ini.

Lebih manis, Misha yang sudah lebih dua dekad menghiburkan peminat, menerima kejutan istimewa apabila komposer lagu itu, Melly Goeslaw, muncul secara tiba-tiba di acara pelancaran.

Suasana menjadi larut dengan emosi, apabila Melly naik ke pentas dan memeluk Misha, sekali gus membuat ramai hadirin terharu dengan momen tersebut.

Melly malah menangis dan mengakui dirinya teruja kerana menganggap Misha idolanya dan mengagumi penyanyi itu sejak mendengar alunan lagu Pulangkan.

Malah genius muzik Indonesia itu menggelar Misha sebagai Ratu Soundtrack Malaysia kerana keupayaan menyanyi sambil bercerita yang dianggap sangat bagus.

Misha mengakui terharu dengan penghargaan diberikan Melly serta menganggap usahanya dalam membina kerjaya seni selama ini berbaloi.

Mengenai lagu Break, kongsi bintang yang masyhur dengan lagu Bunga-Bunga Cinta ini berkata semuanya bermula menerusi pesanan di laman sosial Instagram.

“Break memang dekat dengan hati saya. Saya sangat bersyukur kerana Melly sudi memberikan karya ini. Bila dia muncul malam ini tanpa saya tahu, terus rasa sebak,” kata Misha yang jelas terharu.

Melly pula memuji kemampuan vokal Misha yang dianggap tepat membawakan lagu penuh emosi itu.

“Saya selalu percaya suara Misha ada kekuatan istimewa. Lagu ini memerlukan jiwa, dan dia punya semuanya,” katanya.

Kehadiran Melly bukan sahaja memberi sokongan kepada Misha, malah membuktikan hubungan erat antara artis Malaysia dan Indonesia yang sering menghasilkan kolaborasi hebat.

Dengan pelancaran Break, Misha sekali lagi membuktikan dirinya masih relevan dalam industri, malah gandingan bersama Melly dijangka bakal menjadi siulan ramai selepas ini.

Misha juga bakal mengadakan konsert berjudul DiA Misha Omar – sebuah konsep yang bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah “Riwayat Cinta” antara Misha dan para peminatnya sepanjang dua dekad berkarya pada 29 November 2025, bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *