November 4, 2024

AURA Momen Baharu Legasi Seni Ernie Zakri

KUALA LUMPUR : Transisi dan usaha keras penyanyi ini mengukuhkan tapak dalam industri hiburan ternyata membuahkan hasil. Langkah demi langkah diatur kemas pemilik nama Ernie Zakri sehingga kini dia berada dalam koordinat penyanyi terbaik negara.

Terbaharu, sosok yang mudah mesra ini mencipta momen baharu bersama syarikat Warner Music Malaysia menerusi album penuh berjudul Aura, satu lagi legas seni ciptaannya yang mula dikenali menerusi lagu Ku Bersuara.

Aura merupakan sebuah album yang membawa pesan tentang peneguhan diri dan sikap positif. Ia diolah kemas khas oleh Ernie sendiri untuk memberi keyakinan kepada mereka yang rasa terluka dalam menghadapi kehidupan harian.

Dia yang juga seorang guru vokal berkongsi, album berkenaan mengajak pendengar untuk menghayati aura yang ada pada diri sendiri, sambil mengingatkan bahawa setiap yang berlaku dalam hidup ini adalah takdir yang sudah tersusun, dan
bertujuan memberikan kesedaran untuk menerima segala kekurangan tanpa rasa takut.

“Aura sangat istimewa kerana ia menceritakan tentang sumber kekuatan seseorang. Semua lagu dalam album ini berkisahkan
nasihat, motivasi dan sumber kekuatan untuk insan yang memerlukan semangat.

“Sebagai pembuka cerita kepada album ini, lagu berjudul Masing-Masing diberi penghormatan menjadi single pertama untuk
memperkenalkan Aura,” katanya.

Masing-Masing adalah sebuah lagu galau bertemakan putus cintab yang digubah dan ditulis oleh Ade dari kumpulan Govinda bersama Nabila V, menyingkap sebuah kisah tersendiri serta memeluk hati setiap yang mendengar.

“Saya dan Mas Ade bersependapat untuk menghasilkan lagu galau dengan kisah putus cinta yang sedikit
berbeza.

“Masing-Masing mengisahkan pasangan yang terpaksa teruskan kehidupan mereka dengan cara berpisah demi mencari kebahagiaan diri sendiri. Tidak semua perpisahan tentang pertengkaran atau pergaduhan.

“Ada perpisahan yang berlaku atas persetujuan kedua-dua pihak demi mencapai kebahagiaan sendiri. Saya tahu ramai rakyat Malaysia yang suka lagu galau sebegini,” katanya sambil memberitahu lagu berkenaan menjalani proses rakaman di Yogyakarta, Indonesia.

Ernie berkata, muzik video lagu berkenaan juga boleh ditonton di laman YouTube menampilkan sebuah karya yang begitu simbolik termasuk elemen tarian dalam menceritakan kisah lagu berkenaan.

Terdahulu, katanya Aura membabitkan ramai komposer dan penerbit mengambil masa perancangan sekitar setahun kerana Ernie mempunyai beberapa permintaan khas.

“Saya yang meminta sendiri lagu daripada penulis serta pencipta yang terbabit dalam album ini. Proses rakaman kesemua lagu juga memakan waktu sekitar tiga hingga empat bulan untuk disiapkan.

“Jadi saya harap para pendengar akan dapat memahami apa yang saya cuba sampaikan di dalam album ini. Semoga ia menjadi teman buat mereka yang memerlukan semangat serta kekuatan itu,” kata Ernie menutup bicara.

Album ini menampilkan 10 buah lagu dengan pembabitan nama-nama besar industri muzik serantau seperti Aubrey Suwito, Ezra Kong, Faizal Tahir, Amylea Azizan, Rozi Sangdewi, Helen Yap, Firdaus Rahmat, John Jeeves, Ade Govinda dan beberapa orang lagi.

Aura yang sudah berada di semua platform digital pada 3 November lalu turut menampilkan suami Ernie sendiri, Syamel yang menyumbangkan lagu ‘Jangan Hilang Percaya’. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts