Bukan Janji Kosong – Lebih 200 Penduduk Asal Cabut Undi Kediaman Mewah Kampung Sungai Baru

GIT MEDIA: Kira-kira 200 penduduk asal Kampung Sungai Baru di ibu kota sudah mencabut undi sebagai pemilik sah unit kediaman mewah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru dalam satu majlis yang diadakan Ahad lalu sekaligus membuktikan projek berkenaan berjalan mengikut janji yang dibuat.

Syarikat pemaju, KL City Gateway Sdn Bhd memaklumkan bahawa majlis cabutan undi tersebut berjalan dengan lancar, teratur serta dilaksanakan dengan penuh ketelusan selaras dengan prosedur yang dipersetujui Bersama membabitkan 318 unit kediaman dengan 237 pemilik yang hadir .

Langkah ini menandakan kesinambungan penting kepada Majlis Pecah Tanah projek berkenaan yang telah pun disempurnakan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) ketika itu, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa pada 31 Oktober 2025 yang lalu.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus melahirkan rasa lega dengan perkembangan terkini sekaligus menutup tohmahan dan dakwaaan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab mengenai projek pembangunan berkenan.

“Majlis hari ini bukan sekadar proses penentuan unit, tetapi merupakan satu lagi langkah penting yang membuktikan bahawa Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Tambah Sanita, sebagai anak jati kawasan berkenaan dia berbangga apabila melihat pembangunan moden yang dibangunkan itu malah lebih bermakna apabila ia menjadi milik anak jati serta penduduk asal Kampung Sungai Baru.

Dalam pada itu, Pengarah KL City Gateway Sdn Bhd, Abdul Hadi Ahmad menegaskan bahawa proses penentuan unit ganti dilaksanakan dengan menepati segala perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

Dia turut menjelaskan bahawa keputusan cabutan undi yang dibuat adalah bersifat muktamad dan dilaksanakan melalui mekanisme yang ketat, berpandukan sepenuhnya kepada Perjanjian Usahasama yang menjadi asas kepada pelaksanaan projek ini.

Abdul Hadi memaklumkan bahawa setiap pemilik hartanah yang terlibat akan melalui proses penyempurnaan dokumen berkaitan unit ganti masing-masing selepas cabutan undi ini selesai dilaksanakan.

Segala dokumen yang disediakan akan menjadi rujukan rasmi yang sah dan akan diguna pakai sehingga kediaman ganti tersebut siap sepenuhnya dijangkakan dalam tempoh empat tahun.

Bagi memastikan tahap integriti tertinggi dalam pengundian, proses tersebut telah disaksikan oleh beberapa pihak sebagai pemerhati. Antaranya termasuklah wakil Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Peguam Persatuan, Peguam Pemaju, dan wakil daripada Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru.

KL City Gateway Sdn Bhd terus mengekalkan komitmen teguh untuk menjalankan Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru secara teratur, bertanggungjawab dan profesional demi memastikan segala manfaat pembangunan dinikmati oleh pemilik yang terlibat.

Lebih dari itu, Abdul Hadi turut mengesahkan pemilik tidak akan dibebankan dengan kos penyelengaraan yang tinggi untuk unit kediaman mewah mereka dan ia dinyatakan dalam perjanjian yang dibuat.

“Mereka hanya perlu membayar kira-kira RM120 sebulan berbanding lebih RM500 kos selenggara sebenar yang ditanggung selama 10 tahun dengan kemudahan moden yang disediakan,” katanya. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *