Amy Search Hampir Disengat Tebuah – Scha Alyahya Jumpa KJ Dalam 5 Bomoh

GIT MEDIA: Amalan percayakan bomoh atau ada juga yang menggelar dukun menjadi kisah menarik yang dipaparkan dalam filem 5 Bomoh yang bakal menemui penonton pada Jun depan.

Meskipun berdiri atas genre komedi, filem ini sebenarnya mengangkat kisah realiti yang berlaku dalam masyarakat hari ini apabila memilih untuk mempercayai golongan bomoh berbanding menyerahkan semuanya kepada Tuhan.

Lebih menarik, filem ini membariskan nama besar dalam industri seni tempatan termasuk ahli politik selebriti Khairy Jamaluddin (KJ) serta lagenda rock Datuk Amy Search, Scha Alyahya, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Aaron Aziz, Aedy Ashraf, Ozlynn Waty dan Johan.

Karya arahan Syed Fariz ini dihasilkan secara bersama oleh Global Station, Skop Productions, Primeworks Studios, Aizu Group dan Mask Team. Filem ini menjanjikan kelainan melalui jalan cerita unik, watak-watak menarik serta hiburan kelakar yang boleh buat penonton tergelak tak terkata.

Penerbit Eksekutif Global Station, Zetty Alia Ramly, berkata pemilihan barisan pelakon ini dilakukan dengan teliti bagi memberi impak maksimum kepada penonton yang mahukan kelainan.

“Kami mahu menawarkan sesuatu yang dekat dengan masyarakat. Apabila kita sebut ‘bomoh’, semua orang tahu. Jadi, mengapa tidak kita hasilkan cerita yang menyentuh realiti sosial ini tetapi dalam nada yang mendidik.

Mengenai KJ, Alhamdulillah, beliau bersetuju untuk menyertai barisan pelakon ini dan kehadirannya pasti memberikan warna yang unik kepada naskah ini,” katanya pada majlis pelancaran filem tersebut di sini, hari ini.

Sementara itu, pengarah Syed Fariz menyifatkan barisan pelakon ini sebagai satu “line-up” impian yang sangat berpengalaman.

“Salah satu sebab saya menerima projek ini adalah kerana keunikan pelakonnya. Penonton pasti tertanya-tanya bagaimana karakter Datuk Amy Search kali ini. Saya jamin, anda akan melihat sisi berbeza beliau yang sangat menghiburkan,” jelasnya.

Arahan Syed Fariz dijangka membawa sentuhan segar kepada genre komedi tempatan, menggabungkan elemen budaya Melayu dengan sindiran moden terhadap amalan tahyul. Penggambaran filem telah siap pada Disember 2024, menunjukkan proses produksi yang cekap dan komited.

Amy Ketika ditemui berkongsi dirinya berdepan dengan ancaman kumpulan tebuah ketika penggambaran dijalankan namun tidak berdepan sebarang kemalangan, manakla Scha menyatakan dia kagum dengan kemampuan KJ berdialog sepanjang berlakon dan mengakui penyampai radio itu berbakat sebagai pelakon.

5 Bomoh antara filem yang wajar ditonton dalam mencari hiburan dan kelainan selain peluang bergelak ketawa bersama keluarga bermula 4 Jun depan di pawagam berhampiran anda. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *