GIT MEDIA: Mengangkat tema “Arafah: Puncak Munajat & Harapan”, stesen penyiaran Islam Utama negara TV AlHijrah menyusun rangkaian program eksklusif bermula April sehingga penghujung Mei 2026 bagi membawa suasana Tanah Suci terus ke hati penonton.
Kempen tahun ini bukan sekadar laporan berita, malah merangkumi pengisian ilmu, bimbingan praktikal, serta penghayatan emosi yang dirancang rapi untuk menghubungkan rakyat Malaysia dengan detik-detik agung di bumi Mekah dan Madinah.
Tumpuan utama kempen kali ini pastinya terarah kepada siaran langsung Khutbah Arafah 2026 pada 26 Mei 2026 (Selasa), di mana ia akan disampaikan secara eksklusif oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan khas buat jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
Penonton di tanah air boleh mengikuti detik bersejarah ini bermula jam 7 malam (waktu Malaysia) menerusi platform digital rasmi Facebook dan TikTok TV AlHijrah. Sebelum itu, pada jam 5 petang, penonton bakal diajak bermunajat menerusi program Munajat Arafah yang menampilkan alunan ayat suci Al-Quran dan zikir bersama barisan pendakwah terkemuka.
Stesen berkenaan turut menyusun rancangan menarik lain antaranya ialah Interaktif Haji menampilkan Ustaz Harryanto Rizal dan Ustazah Yusnah Yusuf untuk bimbingan praktikal haji dengan integrasi soalan digital secara langsung, Kisah Mutawif di mana Ustaz Izzhar Nazri menyingkap pengalaman di sebalik tabir pembimbing jemaah di Tanah Suci dan Diari Labbaikallah iaitu kapsul khas ini membawakan laporan semasa dan suasana terkini pergerakan jemaah haji terus dari Mekah.
Kemeriahan sambutan tidak terhenti di Padang Arafah. TV AlHijrah turut menyediakan program Peristiwa Hari Tasyrik pada 28 hingga 30 Mei 2026 jam 9 malam. Program ini bertujuan mendidik masyarakat tentang kepentingan memperbanyak zikir dan mensyukuri nikmat pengorbanan di sebalik kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Selain itu, rancangan pagi Assalamualaikum (7 pagi) dan Berita AlHijrah (8 malam) akan terus memberikan perkembangan harian sahih berdasarkan sumber daripada Lembaga Tabung Haji serta pihak berkuasa Arab Saudi.
Melalui kempen ini, TV AlHijrah berharap dapat menyatukan ummah menerusi ilmu dan penghayatan rohani, sekali gus memastikan semangat haji dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat walaupun tidak berada di lokasi kejadian.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan tajaan dua pakej umrah kepada individu dikenali sebagai “Abang Minyak Hitam Jalanan” sebagai penghargaan atas keikhlasan membantu golongan memerlukan.
Menurut Zulkifli, sumbangan itu diberikan kepada Mohd Yusof Mohd Noor yang sebelum ini belum pernah berpeluang menunaikan ibadah haji mahupun umrah.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengetahui hasrat Yusof yang masih belum berkesempatan ke Tanah Suci, sekali gus menjadikan pakej umrah sebagai hadiah paling bermakna.
Sementara itu, Yusof meluahkan rasa syukur atas rezeki yang diterima dan berhasrat menghadiahkan peluang tersebut kepada ibunya. – GIT MEDIA
