Shiha Zikir dan Giant Lancar Lagu Memori Raya – Imbau Kemeriahan Sambutan Syawal Bersama Keluarga

GIT MEDIA: Penyanyi Shiha Zikir sekali lagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini apabila muncul
dengan lagu raya terbaharu berjudul Memori Raya hasil kolaborasi antara Shiha Zikir Empire dengan Giant Malaysia yang sekali lagi berganding bahu selepas kerjasama menerusi lagu Tum Tum Raya tahun lalu.

Menurut Shiha, lagu Memori Raya membawa elemen nostalgia yang mampu mengimbau kembali kenangan lama ketika menyambut lebaran. Walaupun melodinya bersifat ceria dan catchy, lirik lagu tersebut sebenarnya mampu menyentuh emosi pendengar serta
mengingatkan mereka kepada memori indah bersama keluarga.

“Lagu ini sebenarnya membawa pendengar kembali kepada kenangan lama Ketika menyambut Hari Raya. Apabila saya memperdengarkan lagu ini kepada keluarga, ramai yang tersentuh walaupun melodinya rancak. Mungkin kerana liriknya membuatkan kita teringat
kembali kenangan lama,” katanya.

Tambah Shiha, lagu tersebut dihasilkan bersama komposer Iqie Hugh dan John Jeeves yang berjaya menyiapkannya dalam tempoh yang singkat mengikut konsep yang diinginkan olehnya.

Menyentuh mengenai mesej lagu tersebut, Shiha berkata Memori Raya berkisar tentang kenangan Aidilfitri yang sering dikaitkan dengan kampung halaman serta pertemuan dan masa masa terluang bersama keluarga tersayang dalam persiapan menyambul Syawal.

“Walaupun kedengaran cliche, lagu ini sebenarnya tentang bagaimana kita semua akan teringat kembali kenangan di kampung, bertemu ibu bapa serta saudara-mara ketika musim perayaan,” jelasnya.

Mengulas lanjut tentang kerjasama dengan Giant Malaysia, Shiha akui gembira kerana dapat mendekati lebih ramai orang baharu di luar sana menerusi kempen dan pelbagai aktiviti menarik.

Berkongsi kisah menarik sepanjang penggambaran video muzik Memori Raya, Shiha berkata dia turut mengajak beberapa individu yang tidak dikenali melalui media sosial untuk menyertai penggambaran tersebut.

Menurut Shiha, pengalaman tersebut sangat bermakna kerana mereka sama-sama mencipta kenangan baharu yang selari dengan konsep lagu tersebut iaitu Memori Raya.

Sementara itu, pihak Giant Malaysia menyifatkan kerjasama dengan Shiha Zikir sebagai satu kolaborasi yang sangat bermakna selepas kejayaan yang diraih tahun lalu.

Ketua Pemasaran Giant Malaysia, Andre Lim berkata Shiha bukan sahaja seorang selebriti, malah memiliki personaliti ceria dan bertenaga yang sangat dekat dengan masyarakat daripada pelbagai lapisan, selari dengan profil pelanggan Giant.

“Kerjasama kami dengan Shiha Zikir dan Shiha Zikir Empire tahun lalu membuahkan hasil yang sangat memberangsangkan. Shiha mempunyai personaliti yang ceria dan dekat dengan masyarakat, dan bagi kami konsistensi adalah kunci dalam membina kepercayaan jenama,” katanya. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *