GIT MEDIA: Segalanya bermula tanpa sengaja, sehingga akhirnya berjaya melahirkan sebuah lagu raya yang disifarkan penh energi dan menghiburkan berjudul Raya Yay Yay menggandingkan Dafi, Ryan Bakery dan Farel Prayoga.
Lagu yang merupakan terbitan FYP Media merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Iqie Hugh, Omar K dan John Jeeves ini sudah dilancarkan secara rasmi sejak 27 Februari yang lalu pasti mengimbau kemeriahan menyambut lebaran sewaktu zaman kanak-kanak.
Menurut Dafi, pastinya dia gembira dapat meraikan kehadiran Syawal kali ini dengan sebuah naskhah baharu bersama kedua-dua penyanyi yang lain.
“Sebenarnya rakaman lagu ini dilakukan secara tidak sengaja, Apabila pihak pengurusan FYP Media menawarkan peluang untuk berganding bersama dengan Ryan dan Farel, ini merupakan peluang yang baik untuk saya.
“Saya sendiri belum pernah bergandingan dengan kedua-dua mereka dan banyak perkara baharu yang saya lalui sepanjang proses rakaman berlangsung,” ujar Dafi.

Berlainan pula dengan Ryan yang menyifatkan lagu ini sangat kena dengan jiwanya yang sentiasa ceria dan gembira dan dalam masa yang sama mahu menyebarkan semangat positif kepada semua.
“Hari Raya selalu digambarkan dengan kemeriahan dan keseronokan berkumpul bersama saudara-mara dan sahabat handai. Kemeriahan itulah yang diterjemah oleh pencipta lagu ini ke dalam karya kali ini.
“Semangat itu jugalah yang kita cuba gambarkan yang ada menerusi muzik video lagu ini. Kalau boleh saya mahu semua orang menyambut lebaran dengan suasana ceria dan gembira,” katanya.
Bagi Farel pula, peluang untuk merakamkan lagu Raya Yay Yay merupakan satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan memandangkan ini merupakan lagu raya pertamanya sepanjang bergelar anak seni.
“Saya belum pernah menghasilkan lagu raya memandangkan di Indonesia fokus lagunya lebih kepada bulan Ramadan. Apabila diberikan peluang, pastinya saya tidak mahu lepaskan.
“Semoga Raya Yay Yay mendapat sambutan baik daripada pendengar sama ada di Malaysia mahupun Indonesia,” kata anak kelahiran Banyuwangi, Indonesia.
Jelasnya, dia menyifatkan lagu ini sebagai sebuah naskhah yang sedikit sukar untuk dilaksanakan sepanjang proses rakaman berlangsung memandangkan penggunaan kosa kata yang begitu asing.
“Ada beberapa perkataan saya tidak faham tetapi lucu. Sebab itu saya gembira dapat sama terlibat dalam projek ini memandangkan banyak perkara baharu yang dipelajari,” tambahnya lagi.
Sebagai rekod, Raya Yay Yay sudah dilancarkan secara rasmi pada 27 Februari lalu dan muzik video Raya Yay Yay boleh ditonton menerusi YouTube Indigital Music mulai 6 Mac. – GIT MEDIA
