November 27, 2022

De Fam Masih Panas

SUBANG JAYA: Kumpulan penyanyi hip hop wanita De Fam memberi isyarat mereka bakal aktif dan memeriahkan industri muzik dengan satu kemunculan istimewa pada 1 Oktober nanti.

Mewakili kumpulan itu Azira Shafinaz berkata, mereka akan muncul dengan satu perkara baru dengan kelainan khas buat peminat.

“Alhamdulillah kami memang teruja untuk kembali dan nantikan tidak lama saja lagi semua akan terjawab,” katanya.

Foto: SURIANIE MOHD HANIF

Sophia Liana menambah, De Fam sentiasa aktif dan menerima undangan meskipun jarang keluar di pentas komsersial.

Akuinya, mereka tetap bersama walaupun masing-masing sibuk dan bila ada peluang persembahan semuanya akan meluangkan masa bersama.

“Kami tetap utamakan De Fam dan Alhamdulillah semua berjalan lancar. Ini persembahan kedua selepas AIM tempoh hari,” katanya.

Mereka ditemui usai membuat persembahan sempena Awesome TV Now You See Me Screening 2023 di sini malam Selasa.

Persembahan De Fam mendapat tepukan dan sambutan hangat penonton bersama dua lagi kumpulan iaitu Drama Band dan Ruffedge.

Cik Manggis menambah, mereka memang memberi masa kepada kerjaya seni masing-masing namun De Fam tetap menjadi keutamaan.

“Kami bersama sejak awal dan berjuang membawa muzik serta bakat kami. Insya-Allah kami tidak akan berpecah.

” Doakan dan teruslah sokong kami,” katanya.

Mengenai kemunculan kumpulan wanita bakat baharu, De Fam menyambutnya dengan baik dan gembira.

“Ini adalah satu perkembangan yang sihat, kami bukan nak bersaing tapi sama-sama memeriahkan industri,” kata Manggis.

Sophia berkata, semua kumpulan perlu ada identiti masing-masing dan tak perlu terikut-ikut.

“Macam De Fam kami tubuh dan bentuk kumpulan ini sendiri. Jadi Insya-Allah kami akan terus bersama sebab kami memang salin mengenali.

“Macam soal identiti, kalau De Fam ada rapper iaitu saya, tak semestinya kumpulan lain kena ada. Masing-masing ada kelebihan,” katanya.

Azira menambah, mereka gembira melihat banyak kemunculan kumpulan baru dan berharap semua akan terus kekal.

“Ada antara mereka juga bermula sebagai penari seperti juga kami semua dan kami bermula dari bawah,” katanya.

De Fam ditubuhkan pada 2015 dan popular dengan lagu Supergirs dan Panas. Mereka juga pernah menggantikan Altimet di pentas Anugerah Juara Lagu 33 menerusi lagu Bunga. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts