Astro Tampilkan 16 Telefilem Raikan Syawal – Semarak Kempen Bila Bersama, Lagi Jadi

GIT MEDIA: Sempena meraikan Syawal yang bakal menjelma, Astro Malaysia tampil dengan rangkaian kandungan istimewa merentasi televisyen, radio dan platform digital menerusi kempen Raya bertemakan ‘Bila Bersama, Lagi Jadi’. Inisiatif ini memberi fokus kepada nilai kebersamaan dan keharmonian yang menjadi teras sambutan Aidilfitri.

Sebagai sentuhan istimewa tahun ini, Astro berkolaborasi bersama Novak Batik alam penghasilan visual Raya yang memadukan elemen batik klasik dengan rekaan kontemporari, sekali gus menonjolkan warisan budaya Malaysia dalam nafas moden.

Meneruskan tradisi iklan Raya tahunan, filem pendek ‘Bila Bersama, Lagi Jadi’ mengangkat kisah persaingan lucu antara Samad (Adlin Aman Ramlie) dan Razak (Faizal Hussein) yang berlumba menyiapkan pelita panjut sehingga tanpa sedar memecahbelahkan komuniti kampung. Namun, mereka akhirnya menyedari bahawa semangat Aidilfitri sebenar adalah kebersamaan.

Iklan berdurasi 15 minit arahan Hyrul Anuar (Think Tank) ini turut menampilkan barisan selebriti seperti Bell Ngasri, Noryn Aziz, Azhan Rani, Sharifah Shahirah, Auddra dan kumpulan ALPHA.

Dalam pada itu, Astro bersama Rocketfuel Entertainment mempersembahkan deretan lagu Raya baharu antaranya lagu yang mendapat perhatian ramai iaitu Senyum Gugur di Penghujung Doa oleh Dayang Nurfaizah, Rindu Raya – ALPHA, Kampung Kita – Wani Kayrie, Lagu Raya Untukmu – Hael Husain, Restu Raya – Nadeera, Duit Raya – Sharul Kamal & Mierul Aiman dan Raya Macam Raya – Hael Husaini & ALPHA.

Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh berkata, Astro Ria dan Astro Prima menyajikan 16 telefilem khas Raya bermula 1 Syawal, merangkumi pelbagai genre daripada drama kekeluargaan hingga komedi ringan.

Antara naskhah tumpuan termasuk Dia Bukan Syurga Raya – spin-off drama popular, Kerikil Depan Rumah lakonan Diana Danielle dan Amir Ahnaf, Raya Jujur Je menampilkan keluarga Sharifah Shahira, Seven Untuk Suci debut kumpulan ALPHA, Oh Cerewetnya Datin, Rumah Tanpa Luka Raya dan Kasihnya Ibu

Drama bersiri pula menyaksikan kesinambungan Andai Itu Takdirnya 2, Sujud Terakhir Encik Norman dan Keluarga Iskandar 3.

Norzeha menambah, antara program hiburan yang bakal memeriahkan Syawal Konsert GenKRU – kemunculan semula kumpulan legenda KRU, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026 meraikan Ella, Sembilu The Reunion Live In Concert menampilkan Dato’ Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain, Gegar Vaganza Raya Special, MeleTOP Raya, Bombastika Raya dan Misi Lawak Superstar. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *