Sheila Majid Kotakan Janji – Rai Empat Dekad Dengan Konsert Solo November Ini

Penghibur lagenda tanah air, Datuk Sheila Majid bakal meraikan ulang tahun ke-40 kerjaya seninya dengan mengadakan konsert solonya pada 8 November depan.

Konsert anjuran Altus Prohouse dan TopGallant Show itu akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pementasan yang diberi nama Sheila Majid 40 Years In Music itu akan membawa tema keraian yang penuh warna-warni dan bukti diva itu menunaikan janji yang pernah dibuat dua tahun lalu.

“Ketika konsert saya pada 2023 saya ada berjanji dengan peminat untuk adakan konsert meraikan ulang tahun ke-40 saya dalam industri.

“Alhamdulillah saya bakal adakan dan raikan bersama peminat pada November ini,” katanya pada sidang media konsert berkenaan baru-baru ini.

Persembahan solo itu, kata Sheila, akan menjadi rangkuman momen-momen manis perjalanan karier seni beliau selama empat dekad.

Menurut Sheila, pementasan julung kali di lokasi mega Axiata Arena merupakan saat yang dinantikan beliau selama ini selepas hanya menyaksikan persembahan artis tempatan dan antarabangsa sebelum ini.

Selama menghiburkan peminat setianya, Sheila sudah banyak mengadakan persembahan di lokasi popular seperti Stadium Merdeka, Stadium Negara, Dewan Filharmonik Petronas, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Untuk meraikan kerjaya seni selama 40 tahun ini dan belum pernah beraksi di Axiata Arena, saya fikir ada baiknya saya rebut peluang ini dengan mengadakan konsert di lokasi ini,” katanya.

Konsert solo Sheila kali ini masih mengekalkan pasukan produksi yang setia mengiringi persembahan beliau selama ini seperti Mac Chew selaku Pengarah Muzik, Jennifer Thompson (Pengarah Konsert) dan Steve Ho (pereka pentas). – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *