Showcase Demi Kasih Sayang Dan Sokongan – Aisha Retno Bangkit Dengan The A.I.S.H.A Experience

Akui bintang berbakat besar ini, bukan mudah untuk bersetuju lalu mengumpul kekuatan dan bangkit selepas melalui episod dikhianati tahun lalu.

Namun bagi Aisha Retno, tidak adil membiarkan keluarga dan peminat yang sentiasa ampuh menyokong tanpa berbelah bagi serta sentiasa di sisi saat susah mahu senang.

Lantaran, dia bersetuju untuk muncul dengan showcase The A.I.S.H.A Experience yang dijadual berlangsung pada 20 September ini, pukul 8.00 malam di Petaling Jaya.

“Saya akui bukan mudah dan trauma namun tidak adil membiarkan sokongan kuat peminat dan keluarga yang sentiasa memberikan semangat.

“Saya juga yakin dengan penganjur yang mempunyai reputasi baik dan menganjurkan persembahan artis tempatan dan antarabangsa,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Aisha turut sempat menitip pesan agar berhati-hati dalam mempercayai seseorang termasuk orang yang rapat dengan kita.

Pelantun suara yang dikenali dengan karya-karya lagu eklektik itu, bakal menghiburkan peminatnya dengan lebih 10 lagu baharu termasuk lima lagu daripada 12 lagu yang dimuatkan dalam album baharunya berjudul Rehab.

Album dengan sentuhan komposisi lima genre berbeza itu dilancarkan serentak dengan pengumuman ‘showcase’ berkenaan.

“Album ini bertajuk Rehab. Rehabilitasi yang juga apa yang Aisha lalui ialah proses rehabilitasi kepada diri Aisha juga dalam muzik industri,” jelanya.

Aisha turut mempersembahkan secara eksklusif rangkaian lagu Tak Adil, Jeda, Orbit, ‘Missing Piece’ dan Titik Temu dengan lantunan vokal bersahaja dan gerak tari mempesona; seakan memberi bayangan ‘showcase’ istimewanya nanti tidak akan mengecewakan para peminat.

“Album ini menggambarkan keseluruhan perjalanan hidup Aisha. Kesemua 12 lagu dalam album ini adalah berdasarkan kisah benar. Oleh itu, naratif album ini lebih kepada menyampaikan mesej-mesej yang terkandung dalam setiap lagu.

“Pada masa sama, untuk pendengar memahami bahawa ini adalah kitaran untuk perasaan kita, dalam cinta, dalam ketidakadilan dan tidak putus asa, kesemuanya saling berkait sebagai keseluruhannya. Insya-Allah, mesejnya dapat dihayati dan difahami semua,” jelasnya lagi.

Tiket showcase berharga antara RM228 dan RM298 boleh dibeli secara dalam talian bermula 31 Julai ini. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *