Anjur Konsert Orkestra Pertama – Ungu Pilih Malaysia

Buat julung kalinya, kumpulan muzik popular dari seberang, Ungu bakal mengadakan konsert diiringi okestra penuh sepanjang tiga dekad mengukuh koordinat dalam industri.

Konsert 29th Annversary – Symphony of Ungu bakal berlangsung pada 12 Julai di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur turut menampilkan susunan pentas, pencahayaan dan repertoir lagu yang berbeza daripada sebelum ini, sekali gus membawa penonton menyelusuri evolusi muzik Ungu dalam nuansa lebih megah dan menyentuh jiwa.

Bercerita lanjut, vokalis kumpulan itu Pasha berkata Malaysia menjadi pilihan kerana mengakui menghargai sokongan padu daripada kalangan peminat di negara ini terhadap kumpulan itu.

Dia berkata sambutan luar biasa yang diberikan peminat serta kelancaran penganjuran setiap konsert di Malaysia turut membuatkan membuatkan mereka sentiasa berasa seperti ‘pulang ke rumah sendiri’.

“Sambutan penonton sangat menggalakkan, penganjurannya juga baik, dan kami sebagai penghibur turut berpuas hati,” katanya.

Lebih dari itu, Pasha menambah setiap kali menjejakkan kaki ke negara ini, ia bukan sekadar untuk menghiburkan, malah menjadi ruang untuk mereka melepaskan rindu, berkongsi cerita dan menyampaikan kasih sayang kepada peminat setia Ungu di Malaysia.

“Rasanya seperti balik rumah sendiri. Kami dapat berinteraksi secara dekat dengan peminat yang bersama kami sejak awal perjalanan seni,” katanya.

Ungu yang ditubuhkan pada tahun 1996 mengakui setiap persembahan mereka membawa memori tersendiri dan konsert akan datang di Kuala Lumpur bakal mencatat sejarah baharu dalam karier mereka.

Mengenai konsert anjuran Apex Vnture Global Sdn Bhd berkenaan, Pasha berkata ia pastinya bakal menyajikan momen tersendiri berbanding yang pernah dipersembahkan sebelum ini.

“Setiap persembahan Ungu sejak awal penubuhan kami memiliki kisah dan kenangan tersendiri. Tetapi kali ini, Insya Allah, konsert ini akan menjadi satu bab yang istimewa dalam perjalanan kami,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *