Dana Kandungan Kreatif (DKD) bernilai RM700,000 menanti pemenang Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24 yang bakal berlangsung pada 13 September depan di Arena of Stars, Genting Highlands.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim memberitahu sebanyak tiga kategori baharu turut diperkenalkan pada edisi kali ini iaitu Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.
“AIM 24 memperkenalkan kategori Lagu Tradisional Terbaik pada tahun ini kerana kita nak iktiraf lagu seperti ghazal, joget dan keroncong bagi kategori tradisional manakala untuk kategori pop etnik pula kita ada lagu Iban, Dusun dan pelbagai etnik lagi,” katanya pada sidang media pelancaran AIM 24, di Pusat Equestrian Bukit Kiara.
Rosmin berkata keperluan kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik diperkenalkan juga perlu atas alasan tertentu.
Ini kerana terdapat penyanyi tempatan dengan komposer luar seperti lagu Masing-Masing dinyanyikan Ernie Zakri tidak dapat dipertandingkan.

“Kita mahu lagu-lagu yang berkualiti layak untuk dipertandingkan, jadi untuk edisi kali ini kita perkenalkan kategori ini. Lagipun industri kita sudah semakin terbuka jadi kita harus fikirkan sekarang,” katanya.
Tahun ini sebanyak RM700,000 Dana DKD diperuntukkan Kementerian Komunikasi kepada 11 pemenang kategori utama berbanding RM320,000 yang diperuntukkan kepada empat pemenang pada AIM 23.
AIM 24 mempertandingkan 31 kategori dan bakal berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang, dan RTM sebagai penyiar rasmi.

Pencalonan untuk anugerah AIM 24 tahun ini turut dibuka untuk Lagu/Album dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang dikeluarkan di Malaysia dari 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.
Tempoh dibuka pada Rabu, 4 Jun 2025 dan akan berakhir pada hari Jumaat, 4 Julai jam 5 petang. – GayahIsTyping

 
			 
			 
			