Kumpulan rock generasi baharu paling prolifik, Akim & The Majistret bakal menganjurkan konsert solo pertama mereka bertajuk “Rampas Kuala Lumpur” pada 28 Jun 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Nama konsert Rampas Kuala Lumpur bukan dipilih secara rambang. Ia diilhamkan daripada lagu hit mereka sendiri, Rampas, sebuah karya yang membuktikan keampuhan identiti muzik Akim & The Majistret – garang, lantang, dan penuh karisma.
Dengan lebih 20 buah lagu akan dipersembahkan secara langsung, konsert ini dijanjikan sebagai sebuah manifesto muzik rock Malaysia, yang bakal menyaksikan kemunculan penuh tenaga dan semangat perjuangan kumpulan ini.
Konsert yang akan bermula pada jam 8.30 malam ini merupakan penampilan terbesar sepanjang karier kumpulan berkenaan.
Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, tetapi dirancang sebagai satu “rampasan kuasa artistik” yang belum pernah disaksikan dalam industri muzik Malaysia.

Pendekatan unik konsert ini melibatkan penonton secara langsung, di mana setiap pemegang tiket akan dilantik sebagai “Perisik Majistret” dan menjadi sebahagian daripada naratif konsert.
Akim sendiri akan berperanan sebagai “Komander Akim” manakala ahli kumpulan lain akan menjadi “Tentera Majistret” dalam misi merampas Kuala Lumpur secara simbolik melalui muzik mereka.
Tiket untuk konsert ini boleh dibeli secara dalam talian di laman web ticket2u.com.my/rampas dengan kategori CAT1 – SAKSAMA (ROCKZONE) berharga RM189.00, CAT2 – POTRET (VIP SEATING) berharga RM249.00 yang telah habis terjual, dan CAT3 – MEWANGI (NORMAL SEATING) berharga RM159.00. Pelbagai kaedah pembayaran disediakan termasuk kad Debit/Kredit, FPX dan perkhidmatan BNPL seperti Atome dan SPayLater.

Racus Studio sebagai rakan kreatif rasmi konsert ini telah merancang konsep persembahan yang masih dirahsiakan, dan hanya mereka yang membeli tiket yang akan dapat menyaksikan kejutan istimewa pada hari konsert tersebut.
Para peminat digalakkan untuk mendapatkan tiket seawal mungkin kerana konsert ini dijangka mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat setia Akim & The Majistret di seluruh negara. – GayahIsTyping
