Izzue Islam Simpan Lagu Dua Tahun – Lancar Lagu Raya Dulu Kini Raya Bersama Dehaniff

GIT MEDIA: Demam lagu raya untuk tahun ini berterusan, apabila Izzue Islam bersama Dehaniff turut melancarkan lagu raya Dulu Kini Raya dengan elemen catchy serta mampu menarik perhatian pendengar.

Lebih menarik kongsi Izzue, lagu berkenaan sebenarnya sudah disimpan sejak dua tahun lalu sebelum membuat keputusan untuk menggeluarkannya pada edisi lebaran kali ini yang disifatkan cukup dekat di hatinya kerana membawa elemen nostalgia yang mengingatkan kenangan menyambut Aidilfitri ketika zaman kanak-kanak dan remaja.

“Saya tahu ramai yang keluarkan lagu raya tahun ini dan ia sangat meriah bagi saya. Kalau tanya saya lagu Dulu Kini Raya ini juga mampu berada dalam kategori lagu yang sedap didengar,” kongsinya pada majlis yang berlangsung di The St Regis Kuala Lumpur.

Menurutnya, lagu itu menampilkan gabungan rasa klasik dan moden yang menjadikannya mudah diterima oleh pelbagai generasi.

“Lagu ini ada aura klasik raya yang kita semua rindu. Dalam masa sama, ada sentuhan moden supaya generasi sekarang pun boleh menikmatinya. Elemen nostalgia itu memang terasa, seperti kenangan kita beraya dulu-dulu, cuma bunyinya lebih segar dan itu yang menjadikan lagu ini ada identiti tersendiri,” katanya.

Bercerita mengenai kerjasama bersama Dehaniff, Izzue mengakui gandingan mereka terhasil secara semula jadi apabila kedua-duanya mempunyai keserasian yang baik sepanjang proses rakaman.

Katanya, tenaga dan gaya Dehaniff sesuai dengan konsep lagu tersebut, sekali gus menjadikan gabungan suara mereka lebih menyerlah.

“Proses penggambaran video muzik pula memang menyeronokkan. Ada juga beberapa perkara ‘gila-gila’ yang kami lakukan. Banyak momen lucu dan situasi agak huru-hara sepanjang penggambaran, daripada lokasi set, pakaian hingga babak besar yang memerlukan tenaga yang banyak. Walaupun penat, pengalaman itu memang sukar dilupakan,” katanya lagi.

Difahamkan, pembikinan video muzik Dulu Kini Raya menelan kos yang agak tinggi dengan beberapa elemen unik digunakan sebagai prop, termasuk lembu yang dibawa khas dari Melaka serta penggunaan kren skylift.

Sementara itu, Dehaniff pula menyifatkan Izzue sebagai rakan duet yang mudah bekerjasama dan sangat komited sepanjang proses penghasilan lagu berkenaan.

Menurutnya, lagu Dulu Kini Raya turut menggabungkan beberapa elemen genre yang menjadikannya sesuai dinikmati oleh pendengar daripada pelbagai lapisan usia.

Lagu Dulu Kini Raya kini boleh didengari di pelbagai platform digital, manakala video muzik rasminya juga telah dilancarkan di YouTube untuk tontonan umum. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *