Paling istimewa pada Konsert Empat Live In Kuala Lumpur Oktober ini, ialah penyatuan empat vokal hebat yang bakal bersatu untuk halwa telinga penonton yang hadir.
Meski Ziana Zain, Anuar, Ernie Zakri dan Syamel memiliki kredibiliti vokal tersendiri, apa yang bakal dipersembahkan ialah paduan empat suara yang menjadi satu sepanjang konsert berkenaan.
“Tidak akan timbul soal vokal siapa lebih hebat kerana pada konsert ini anda akan melihat empat penyanyi menjadi satu dan memberikan satu memori indah buat semua,” kata Anuar.
Penyanyi Keabadian Cinta itu juga menambah mereka masing-masing teruja dalam menjayakan konsert yang pertama seumpamanya di negara ini.
Gandingan empat penyanyi pertalian darah ini menjadi sebuah persembahan dinantikan dan paling menarik dalam sejarah industri muzik negara.
Selain kekuatan aura masing-masing, setiap mereka juga mempunyai kelompok peminat tersendiri yang secara tidak langsung berkait antara satu sama lain.

Ziana, Ernie dan Syamel juga optimis dan bersedia menjayakan konsert yang membawakan lagu hit masing-masing.
Sementara itu Anuar menambah, mereka bakal menghadiahkan lagu baharu buat peminat yang akan dilancarkan Ogos ini sempena konsert itu.
Lagu yang tajuknya masih dirahsiakan itu dipilih secara sepakat oleh keempat-empat penyanyi selepas diperdengarkan dua pilihan oleh komposer Edry Abdul Halim, yang juga akan melakukan proses adunan lagu di Manchester, UK.
“Ketika berjumpa Edry, Rabu lalu, dia beri kami dua pilihan lagu. Kami tertarik dengan salah satu daripada lagu ciptaannya yang ‘menangkap’ jiwa.
Mengulas lanjut mengenai konsert itu, Anuar berharap kolaborasi itu dapat diabadikan sebagai legasi dan sejarah keluarga serta menjadi suatu jenama.

Sehubungan itu, kata Anuar, pemilihan lagu dibuat dengan teliti malah, sebagai penganjur, iaitu Anuar Zain Network dan Altus ProHouse, dia tidak berkompromi dengan sistem bunyi pada malam bersejarah itu nanti yang bakal menghangatkan Mega Star Arena, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“Keutamaan saya adalah sistem bunyi. Kalau ada vokal yang baik dan pakaian yang cantik, tetapi, sistem bunyi lebih kurang kerana hendak kejar untung lebih, saya takut perkara itu akan mengganggu fikiran saya berbulan-bulan.
“Bagi saya, konsert perlukan sistem bunyi terbaik. Saya mahu apabila persembahan kami dimuat naik dalam media sosial, peminat boleh dengar dengan jelas muzik dan nyanyian kami.
“Walaupun peminat tidak tahu mengenai sistem bunyi, saya bertanggungjawab kerana mereka mengeluarkan duit yang banyak untuk datang ke konsert kami.
“Jadi, kami mahu mereka pulang dengan perasaan puas,” katanya. – GayahIsTyping
You may also like
-
Empat Live In Kuala Lumpur – Simetri Pesona Keluarga Seni
-
Kumbang Bunga Semarak Lenggok Tradisi Siti Nurhaliza – Gabungan Suara Melayu Serantau
-
Bakal Lakar Sejarah Nasyid – Misi InTeam Tawan Axiata Arena
-
Ziana, Anuar, Ernie dan Syamel Ajak Peminat Hafal Jangan Henti – Nyanyi Bersama 18 Oktober Ini
-
Legacy 30 Siti Nurhaliza – Simbol Perjalanan, Pengorbanan Dan Kejayaan Seni Biduanita Negara
