GIT MEDIA: Menyedari nama dirinya dan Rody antara yang paling sinonim dengan kumpulan Kristal, penyanyi Lan Solo berkongsi orang pertama yang dicari dan dihubungi sebaik mahu menjalankan projek Konsert Kristal OG, ialah Rody sejak bulan Jun tahun lalu.
Tambah Lan, dia sudah mengambil inisiatif untuk merendahkan ego demi menjernihkan hubungan dengan gitaris utama kumpulan Kristal itu sekali gus berkerjasama untuk mengadakan konsert Kristal OG.
Bagaimanapun, usaha Lan atau nama sebenarnya Muhammad Razlan Mohamed Yusof, 40, itu tidak mendapat maklum balas positif apabila Rody didakwa kurang memberi respons terhadap ajakan untuk berbincang mengenai konsert berkenaan.
Kata Lan, dia juga mengajak Rody bersemuka kerana lebih selesa selepas sembilan tahun tak bertemu berbanding mesej kerana bimbang maksud sebenar tidak dapat disampaikan dengan baik.
“Sejak awal menerima tawaran ini, dia orang pertama yang saya rujuk dan ingin jumpa. Saya cadangkan kami berjumpa memandangkan sudah lama tidak bersemuka. Bagi saya, lebih baik berbincang depan-depan daripada WhatsApp.

“Tetapi hari demi hari, dia hanya beri jawapan ‘nanti fikir’ dan alasan sibuk. Dari Jun 2025 saya cuba hubungi hingga Julai, hampir Ogos, barulah saya buat keputusan untuk berhenti mencuba,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert Kristal OG bersempena meraikan 25 tahun perjalanan seni yang berlangsung di Hotel Olympic Kuala Lumpur.
Memandangkan sudah lama tidak berhubung, Lan berkata dia mengambil langkah memulakan perbualan dengan meminta nombor telefon Rody daripada adiknya iaitu Acap.
Jelas Lan, niatnya hanya mahu memperbaiki hubungan selain memenuhi permintaan peminat yang ingin melihat mereka kembali bekerjasama.
“Saya sudah ketepikan ego kerana rasa ini masa yang sesuai tetapi agak kecewa apabila ia tidak menjadi seperti dirancang. Orang nampak saya dan Rody sebagai tonggak utama Kristal, jadi saya cuba tunaikan hasrat peminat,” ujarnya..
Dalam masa sama, Lan tetap menghormati keputusan yang dibuat oleh Rody selain tekad mahu memberikan fokus kepada konsertnya yang bakal berlangung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Mei nanti anjuran Pertubuhan Kasih KhaiRosma dengan kerjasama Blavia dan Andromeda Event.
Selain Lan, mewakili penganjur konsert berkenaan, Khai turut memberitahu ada cuba menghubungi Rody namun juga tidak mendapatkan maklum balas yang sewajarnya.
Untuk rekod, kemelut dua sahabat ini mula tercetus pada Lan dipercayai membuat keputusan untuk menyertai Gegar Vaganza musim ke-4 pada tahun 2017 lalu.
Disebabkan itu, Rody membuat keputusan untuk ‘merehatkannya’ dan mencari vokalis pengganti sekali gus membuatkan Lan memilih keluar dari kumpulan Kristal. – GIT MEDIA
