January 17, 2025

Dayang Teruja Duet Rossa – Berkongsi Satu Pentas

Penyanyi hebat tempatan Dayang Nurfaizah mengakui teruja apabila Datuk Seri Rossa secara spontan mempelawanya berduet dalam Konsert Divas & Diamonds 2024 yang berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru pada 7 September depan.

Diakui antara penyanyi terbaik dan memiliki kredibiliti vokal yang diakui, Dayang merendah diri dengan pelawaan Rossa yang juga penyanyi idolanya.

Malah penyanyi lagu Di Pintu Syurga itu menganggap pelawaan Rossa sebagai satu penghormatan buatnya lebih-lebih lagi berkongsi satu pentas dalam konsert itu nanti.

“Saya amat berterima kasih kerana impian jadi kenyataan. Mengapa tidak kami berduet kerana kami ada masa berbincang lagi. Sebab ini bagi saya satu peluang. Tak sangka dia kenal saya.

“Dari segi lagu saya memang nak lagu balada. Rossa sendiri ambil inisiatif untuk duet kerana kami tiada perancangan. Dia sendiri yang buka mulut. Saya tak berani nak buka mulut,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert itu baru- baru ini.

Mengulas mengenai konsert berkenaan, Dayang berkata persembahan untuk konsert ini tidak dirancang kerana tawaran datang tiba-tiba namun dia sangat teruja untuk menjayakannya.

 

“Bagi saya ini satu peluang sebab ia konsert besar. Saya teruja dan tak sabar, dalam masa sama takut dan gemuruh. Bukan takut apa, tapi saya nak pastikan dapat menghiburkan peminat yang hadir nanti.

“Biarpun hanya lima lagu, kepuasan tetap ada bila saya terbabit dalam konsert dengan iringan ‘live’ band. Ia berbeza berbanding ‘show’ tertutup lain. Konsert orang datang untuk berhibur dan raikan muzik.

“Untuk konsert ini, setiap artis yang terbabit akan menyampaikan sekitar lima lagu. Semestinya saya akan pilih lagu hit yang orang ‘familiar’ untuk ‘sing a long’ kerana masa terhad,” katanya yang bakal mengadakan tampil dengan album baharu tahun ini.

Mengenai album baharu itu, Dayang berkata sudah 90 peratus siap dan mengandungi 13 lagu baharu dan sebuah lagu lama sebagai bonus.

“Komposernya ada Ajai, Aubrey Suwito dan komposer baharu. Konsep lagunya tetap stail saya. Ada ‘feel’ saya yang dikenali,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts