Yayasan Nurjiwa Terus Pikul Amanah Salur Bantuan – Turut Perluas Penerima Dalam Kalangan Jurusolek, Krew Industri

GIT MEDIA: Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama strategik Yayasan Prihatin menghargai jasa serta menyantuni penggiat seni dan pengamal media yang sedang berhadapan dengan ujian hidup seperti masalah kesihatan dengan memperluaskan bantuan kepada golongan berkenaan.

Pengasas Yayasan Nurjiwa Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata bantuan berkenaan antara usaha yang dilakukan bagi membnatu mereka yang memerlukan.

Bercerita lanjut, semepena Ramadan juga program Nur Muhammad terus diperkasakan bagi menyantuni golongan asnaf, manakala program Jiwa Quran menyasarkan golongan B40.

“Sejak hari pertama Ramadan, sukarelawan kami turun padang menyampaikan sumbangan kepada asnaf, termasuk yang tinggal di pedalaman dan tidak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Ada antara mereka terlalu daif hingga tidak mengetahui perkembangan semasa, malah tidak mengenali saya atau suami. Inilah golongan yang kami mahu santuni,” katanya.

Perkembangan itu dikongsikan pada Majlis Iftar Jiwa Prihatin hasil kerjasama strategik Yayasan Nurjiwa dan Yayasan Prihatin di sini, baru-baru ini.

Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan kepada penyumbang, rakan strategik dan sukarelawan, selain menyantuni penggiat seni serta pengamal media yang berdepan ujian hidup termasuk masalah kesihatan.

Pada majlis sama, 120 anak yatim dan pelajar tahfiz daripada Pusat Jagaan Anak Yatim dan Asnaf Baitul Nurrawdhah, Rumah Titian Kaseh, Maahad Tahfiz Al-Quran Misbah Falah dan Madrasah Tahfiz Al-Quran Syazwan turut menerima sumbangan.

Siti berkata, setiap ringgit yang disumbangkan adalah harapan buat mereka yang memerlukan dan menjadi amanah besar yang akan terus dipikul Yayasan Nurjiwa.

Penyanyi lagu Beraya Dengan Saya juga berkongsi, menerusi Yayasan Nurjiwa yang diasaskannya bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, Siti terus komited memastikan kesinambungan pendidikan di Gaza dengan membangunkan semula Sekolah Afwa Al Aafiyah yang sebelum ini musnah akibat dibom.

Siti berkata, pihaknya bersyukur apabila usaha membangunkan semula sekolah berkenaan dapat direalisasikan hasil doa dan sumbangan rakyat Malaysia.

“Tahun ini amat bermakna buat Yayasan Nurjiwa. Dengan berkat doa dan sumbangan ramai, kami berjaya membangunkan semula Sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza yang musnah dibom.

“Bagi memastikan pendidikan anak-anak Palestin tidak terabai, inilah usaha yang kami lakukan demi kebaikan mereka. Pada 2026, kami bersyukur kerana sekolah itu kembali dibangunkan,” katanya.

Selain Gaza, Yayasan Nurjiwa turut menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa banjir di Aceh, Indonesia. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *