GIT MEDA: Dia pernah berada di laluan mudah untuk meloloskan diri dalam bidang seni sebaik diangkat sebagai Naib Juara Dewi Remaja 2019, namun Adriana Ghafar akur untuk menghentikan seketika impian itu bagi memberikan fokus untuk menggenggam segulung ijazah.
Kini, lulusan sarjana muda undang-undang dari Universiti Malaya itu kembali untuk memahat koordinat dirinya bergelar anak seni dan mempertaruhkan bakat dalam industri hiburan tanah air.
“Saya memang sudah berjanji dengan keluarga dan diri sendiri saya perlu habiskan pengajian dulu, kini saya kembali untuk mencapai impian sebagai pelakon.
“Bagi saya tidak timbul sebarang isu, dan saya yakin ilmu yang saya miliki akan membantu saya memahami industri seni dengan lebih baik termasuk mengetahui hak saya sebagai pelakon,” katanya dalam majlis berbuka puasa di JW Marriot Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pemilik nama Nur Nafissa Adriana Abdul Ghafar, 28, itu menjelaskan dirinya seorang peguam bertauliah termasuk sudah melengkapkan chambering bagi tujuan berkenaan.
Tuturnya kemas, dia mengintai peluang dalam bidang lakonan dan pengacaraan serta mencuba apa juga watak yang ditawarkan termasuk menjadi seorang peguam.

“Saya tidak kisah apa juga watak yang ditawarkan asal mampu memberikan peluang yang baik untuk saya tunjukkan bakat yang ada. Kalau jadi peguam pun ok, dan pastinya saya akan gunakan peluang untuk merealisasikan ilmu yang saya miliki,” katanya.
Adriana, yang mengakui masih solo berkata, keluarga juga menerima baik keputusannya untuk bergelar anak seni dan memberikan sokongan yang baik.
“Alhamdulillah setakat ini dengan sokongan keluarga, saya akan teruskan apa yang saya nak buat dalam industri, Insya-Allah.
“Bagi saya tak ada istilah sia-sia. Ijazah itu masih saya genggam. Jadi saya tak perlukan validation daripada orang pasal “sia-sia” dan sebagainya sebab bagi saya, saya boleh saja teruskan bidang guaman bila-bila masa saya nak,” katanya yang juga pernah menghasil buku puisi berjudul Everything In Between.
Tahun ini, Adriana telah membintangi dua telefilem dan sebuah drama televisyen , bekerjasama dengan pengarah berpengalaman seperti Riza Baharudin, Zizan Nin dan Zamri Zakaria .
Dia juga terus kembali aktif sebagai model bagi pereka fesyen tempatan serta terlibat dalam pelbagai kempen iklan jenama utama di
Malaysia. – GIT MEDIA
