Pereka fesyen popular, Ezuwan Ismail teruja apabila berpeluang mereka busana buat penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw bersempena dengan Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends: Malam Graduasi yang berlangsung malam tadi di Axiata Arena Bukit Jalil.
Ezuwan, 42, berkata, kesudian penyanyi lagu Gantung itu untuk menyarung persalinan ilham pereka tempatan buat julung kali sebagai satu penghargaan besar kepada dirinya.
“Melly sudah melihat busana Ezuwan Ismail Kuala Lumpur yang dipakai oleh penyanyi, Aina Abdul ketika membuat persembahan di dalam sebuah majlis anugerah pada Februari lalu.
“Kebetulan ketika itu dia disolek oleh jurusolek Epie Termerloh yang bertanya sama ada dia berminat untuk cuba guna khidmat pereka tempatan sekiranya membuat persembahan di Malaysia selepas ini.
“Jadi dia ada meneliti baju saya di media sosial dan sehari selepas itu kami berjumpa untuk berbincang. Saya terkejut besar apabila dia beritahu berminat nak pakai baju saya untuk konsert besarnya di sini,” katanya.
Bagi Ezuwan, satu penghormatan apabila Melly sudi menyarungkan baju rekaan pereka tempatan untuk persembahan berskala besar.
Pastinya, akui pereka berasal dari Kelantan ini dia teruja dan pada masa sama berdebar bila berpeluang untuk berkarya seterusnya mereka baju figura terkenal seperti Melly Goeslaw.
“Iyalah bukan senang nak dapat kepercayaannya memandangkan sebelum ini dia belum pernah pakai mana-mana persalinan yang direka oleh pereka fesyen Malaysia. Rasa syukur sebab kita tahu namanya pun bukan calang-calang di rantau ini,” katanya.
Berkongsi mengenai rekaan tersebut, Ezuwan menjelaskan baju yang direka adalah yang termahal pernah dihasilkan untuk mana-mana selebriti setakat ini.
“Sesuai dengan karektor dan personaliti Melly, Saya memilih fabrik denim sebagai input utama rekaan yang disulami dengan perincian penuh manik dan mutiara pelbagai saiz yang dijahit tangan dari atas sampai bawah.
“Lebih 70,000 manik dan mutiara telah digunakan yang makan masa sekitar tiga minggu untuk disiapkan. Kalau dijual di pasaran, harganya sekitar RM130,000 dan mutiara pelbagai saiz itu juga telah dibeli dari luar negara.
“Memang mahu cipta satu kelainan yang eskklusif memandangkan ramai yang sedia maklum perincian serta jahitan yang kemas adalah ‘signature’ Ezuwan Ismail Kuala Lumpur.
“Melly juga gembira dan tidak minta sebarang perubahan dilakukan pada mana-mana bahagian baju bila sesi ‘fitting’ dilakukan. Satu penghormatan juga bila Melly menyarung ia pada penutup konsert semalam yang kita tahu lagu-lagu hitsnya telah dipersembahkan pada segmen itu.
“Malah sudah semestinya jangkaan orang luar juga tinggi untuk lihat apa lagi yang boleh Ezuwan Ismail Kuala Lumpur hasilkan sebab sebelum ini saya sudah mereka persalinan ikonik untuk konsert besar Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul dan Ziana Zain.
“Syukur atas pelbagai maklum balas positif yang diterima. Saya anggap ini rezeki dan sudah semestinya pencapaian baik ini menjadi pembakar semangat untuk Ezuwan Ismail Kuala Lumpur terus mencipta sukses selepas ini, insya-Allah,” katanya lagi. – GayahIsTyping
You may also like
-
Ibu Scha Al-Yahya Meninggal Dunia – Awal Kongsi Kehilangan Ibu Mentua di IG Story
-
Festival of Drums and Percussion Malaysia 2024 – Pentas Pemuzik Terbaik Negara
-
Wawa Belanja 100,000 Unit Sunscreen Kanak-Kanak – Lancar Sempena Hari Lahir Anak
-
Janji Hadiah 25 Tahun Dayang Nurfaizah – Turut Dedikasi Buat Iman Imran
-
Jangan Pandang Belakang 2 – Jin Tak Perlu Jaga Manusia