Foto Gergasi TokTi Hiasi Times Square New York – Justifikasi Kecemerlangan Berterusan Penyanyi Nombor Satu Negara

GIT MEDIA: Foto gergasi Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengenakan busana tradisional rona merah ditampilkan di layar digital gergasi Times Square New York, Amerika Syarikat (AS) apabila sekali lagi dipilih sebagai wakil kempen Spotify EQUAL Singapura & Malaysia bagi Mac 2026, sekali gus menjadi penyertaan kali kedua beliau dalam inisiatif berprestij ini.

Hal berkenaan bukan hanya pengiktirafan besar justifikasi pencapaian luar biasa Siti dalam industri muzik, malah sekaligus mengangkat suara wanita di rantau Asia Tenggara ke pentas lebih luas.

“Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas rezeki ini. Terpilih sebagai wakil Spotify EQUAL Singapura & Malaysia adalah satu penghormatan yang sangat besar buat saya,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Universal Music Malaysia dan SN Legacy.

Menurut penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini pengiktirafan diraih menjadi bukti bahawa muzik tidak mengenal batas usia atau tempoh masa.

Dalam era digital yang berkembang pesat, pemilihan Siti sebagai wajah kempen yang memperkasakan wanita membuktikan bahawa karya yang berkualiti kekal relevan dan dihargai di platform penstriman global.

Sebagai figura wanita berpengaruh, Siti melihat pencapaian ini sebagai representasi buat semua anak seni wanita di rantau ini.

“Ini bukan sekadar kejayaan individu, tetapi satu mesej bahawa suara wanita ada kekuatan luar biasa untuk menyatukan peminat di Malaysia, Singapura dan seluruh dunia,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Spotify atas usaha berterusan dalam memperkasakan wanita melalui muzik.

Siti turut berkongsi nasihat buat penyanyi wanita muda yang ingin membina kerjaya mampan dalam industri muzik masa kini.

“Jangan hanya kejar viral, tetapi kejarlah kualiti. Identiti yang kuat dan disiplin dalam menjaga vokal akan memastikan anda kekal relevan merentas zaman,” katanya.

Siti turut mengingatkan bahawa industri muzik sentiasa berubah dan artis perlu bijak menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta trend semasa tanpa melupakan asas seni mereka.

Siti berkata, sikap positif dan ketahanan diri juga penting dalam menghadapi cabaran industri muzik sambil menegaskan bahawa peminat adalah tunjang utama dalam perjalanan kerjaya seseorang artis.

“Hargai peminat anda kerana tanpa mereka, kita tidak akan berada di mana-mana,” katanya.

Pemilihan Siti sebagai wakil Spotify EQUAL Singapura & Malaysia sekali lagi membuktikan pengaruh dan relevansi beliau sebagai ikon muzik serantau, serta menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus berkarya dan mengangkat suara wanita dalam industri muzik. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *