Buah Hati Simbol Kasih Sayang Ibu Bapa – Tomok Abadi Foto Peminat Bersama Insan Tersayang

Kasih sayang paling tulus pastinya lahir daripada dua insan agung yang cukup bermakna dalam hidup setiap insan, siapa lagi kalau bukan ibu dan bapa.

Lantaran, penyanyi dan komposer popular tanah air, Tomok, membuka tirai tahun 2026 dengan pelancaran single terbaharu berjudul ‘Buah Hati’, sebuah karya yang sarat dengan tema kekeluargaan, kasih sayang dan keikhlasan emosi, hasil ciptaannya sendiri bersama Barr Hadif, manakala liriknya ditulis oleh Fedtri Yahya.

Lagu itu mengangkat makna kasih sayang ibu bapa yang tulus dan tanpa syarat, melindungi, membimbing serta berkorban demi kebahagiaan anak-anak, disertai doa agar mereka membesar dengan baik, kuat dan bahagia.

“Alhamdulillah, ini permulaan yang baik untuk tahun 2026. ‘Buah Hati’ adalah sebuah lagu yang sangat dekat di hati saya dan diciptakan khas buat keluarga serta mereka yang saya sayangi.

“Sentuhan lirik oleh Fedtri Yahya menjadikan gabungan melodi dan mesej lagu ini sesuatu yang sangat istimewa. Saya berharap lagu ini dapat diterima dengan baik oleh semua peminat,” kongsinya.

Menariknya, sebagai tanda penghargaan terhadap nilai kasih sayang dan kekeluargaan, Tomok turut tampil dengan video lirik rasmi yang memaparkan foto-foto peminat bersama insan tersayang yang dihantar sendiri oleh mereka.

Inisiatif istimewa ini mencerminkan usaha Tomok untuk mendekati para peminatnya dengan lebih dekat, sekali gus meraikan ikatan cinta, kebersamaan dan hubungan emosi yang terjalin antara beliau dan para penyokong setianya

Untuk rekod, Tomok juga pernah menghasilkan lagu untuk beberapa artis terkenal, termasuk sebuah karya dalam album Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Single ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama, manakala video lirik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Popsicle Records milik penyanyi itu di bawah Luncai Emas. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *