Bila Resah antara tiga lagu yang menjadi pilihan peminat penyanyi kesayangan ramai, Anuar Zain setiap kali mahu berada dalam suasana healing.
Perkara itu dikongsi penyanyi dan juga pelakon adik kepada Ziana Zain itu kala ditemui pada majlis pengumuman konsert Healng Night 2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 24 Januari tahun depan.
“Bila Resah, Teman Terulung dan Ketulusan Hati antara tiga lagu yang menjadi pilihan peminat saya untuk mereka healing kerana masing-masing membawa mesej tersendiri kepada yang mendengar.
“Pada saya masing-masing ada cara mereka dan bila mereka dengar lagu juga mereka ada interpretasi tersendiri, Teman Terulung sebagai contoh satu lagu pada saya ialah mengenai hubungan kita dengan Tuhan,” kongsinya.
Sementara itu, Anuar berkata dia bersetuju menjayakan konsert itu kerana tertarik dengan konsep yang lain dari biasa, termasuk menyediakan pelbagai aktiviti menjelang malam konsert selain berkongsi pentas dengan teman seperjuangan termasuk Ella dan Dayang Nurfaizah.

Konsert anjuran Kembar Nusantara Sdn Bhd dengan sokongan Creative Page Sdn Bhd dan Yumeca Sdn Bhd, bakal menyatukan lima penghibur ternama dari Malaysia dan Indonesia di bawah satu pentas.
Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Herman Aziz, berkata konsert yang turut membabitkan Kangen Band serta Lyodra dari Indonesia dengan konsep healing diterapkan bagi mengangkat muzik sebagai terapi yang mampu menyentuh hati dan memberi ketenangan.
“Selepas pandemik, ramai memilih fasa pemulihan diri dengan pelbagai cara, namun kami percaya muzik adalah medium terbaik untuk proses healing kerana ia menyatukan manusia melalui emosi dan semangat positif,” katanya.
Selain persembahan artis, Healing Night 2026 tampil dengan kelainan menerusi elemen unik seperti reka bentuk pentas berkonsepkan kesejahteraan, ruang rehat khas dan aktiviti bertema seperti healing.
Herman berkata, pihaknya gembira penganjuran konsert ini turut menerima sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Pihak terbabit melihat ini sebagai inisiatif memperkukuh hubungan serantau antara Malaysia dan Indonesia serta mempromosikan budaya negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Dalam pada itu Ella berkata, penganjuran konsert ini sesuatu yang segar dan bermakna dalam dunia hiburan tempatan.
“Konsep Healing Night 2026 sangat istimewa kerana bukan hanya menekankan aspek hiburan, tetapi juga kesejahteraan mental dan emosi.
“Saya tidak sabar berkongsi pentas bersama Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Kangen Band dan Lyodra untuk memberikan pengalaman muzik yang berbeza,” katanya. – GIT MEDIA
