Penyanyi dan komposer berbakat besar, Aisha Retno muncul dengan karya terbaharu yang mengungkap luahan daripada hatinya berjudul Tak Adil.
Single yang menampilkan sisi berbeza Aisha ini ditulisnya sendiri dan digubah bersama adiknya, Radi.
Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata, lagu itu dihasilkan berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri sepanjang tempoh lima tahun terbabit dalam industri muzik.
Aisha berkata, ketidakadilan memang banyak berlaku dalam kehidupan kita seperti dalam pekerjaan, percintaan dan bermacam lagi.
“Saya sudah tempuh macam-macam dalam industri hiburan. Semuanya saya luahkan dengan jujur dalam lagu ini. Ada kejadian yang pernah berlaku kepada saya sebelum ini, ia memang tak adil.

“Memang tidak adil jika satu pihak saja yang rasa sakit sedangkan pihak lagi satu tak rasa apa-apa,” katanya yang kali terakhir muncul dengaan lagu Ketipak Ketipung versi baharu Aidilfitri lalu.
Berkongsi pembikinan single pula, Aisha berkata, dia menulis lagu Tidak Adil ketika dirinya sedang bersedih.
“Suatu hari ketika berada di rumah, saya berasa sangat sedih dan marah. Kemudian, ketika masih ‘broken’, adik saya, Radi suruh saya tulis lagu genre pop rock di studio di rumah sebab dia nampak ekspresi saya yang sedih dan marah ketika itu.
“Dalam masa kurang tiga jam, semuanya terluah dalam lagu. Proses produksi pula ambil masa hanya beberapa minggu,” kata pemenang tempat ketiga program Big Stage 2022 itu.
Ditanya penerimaan peminat pula, kata Aisha, dia bersyukur Tak Adil dapat sambutan sejak dilancarkan minggu lalu terutama pengikut di media sosial.

“Lagu ini saya dedikasikan buat semua peminat yang menyokong kerana tetap menjadi pembakar semangat untuk saya terus berkarya.
“Peminat sentiasa membuat saya berasa bermotivasi untuk terus menulis, menggubah dan menyanyikan lagu baharu.
“Saya tak pernah letak harapan tinggi terhadap lagu dihasilkan untuk memasuki pertandingan atau anugerah kerana apa yang diharapkan lagu ini diterima ramai,” katanya. – GayahIsTyping
